Pages

Friday, October 31, 2008

Berjumpa lagi....,

Kontrak persefahaman

John Locke, Thomas Hobbes dan Jean Jaque Rousseau merupakan antara pelopor teori kontrak sosial dalam tradisi pemikiran politik Barat. Walaupun tidak lebih daripada satu fiksyen sejarah, teori kontrak sosial menjadi asas falsafah kepada pembentukan masyarakat dan negara moden.

Kekuatan teori ini terletak pada andaian bahawa wujud satu persefahaman antara individu dalam masyarakat untuk hidup bersama secara aman dan menghormati hak masing-masing.

Mutakhir ini, kontrak sosial merupakan topik yang semakin hangat diperdebatkan di Malaysia. Baru-baru ini, Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan khusus mengingatkan rakyat agar tidak mempersoalkan kontrak sosial.

Kontrak sosial yang dimaksudkan merujuk kepada kompromi politik yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum di Malaysia ketika negara mencapai kemerdekaan lima dekad yang lalu. 'Kontrak' ini merangkumi persetujuan mengenai hak-hak keistimewaan Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum bukan Melayu, termasuklah hak kerakyatan yang merangkumi hak-hak politik, ekonomi, budaya dan agama.

Kontrak sosial Malaysia ini sama saja tujuannya dengan kontrak sosial Barat. Ia menyediakan asas falsafah kepada pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang aman. Namun, kontrak sosial Malaysia berbeza dengan kontrak sosial Barat dalam dua aspek utama.

Pertama, ia bukanlah satu fiksyen sejarah. Persetujuan ini benar-benar dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum di Malaysia sebelum merdeka dan terma-termanya termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, kontrak sosial Malaysia tidak menyempitkan ruang lingkup konsep kepada hak individu semata-mata. Ia sebaliknya mengiktiraf konsep hak yang turut merangkumi hak-hak kaum. Malah, hak-hak kaum menjadi asas kepada kontrak sosial Malaysia.

Pengkritik kontrak sosial Malaysia menolak konsep hak berasaskan kaum. Bagi mereka pengiktirafan terhadap hak kaum, lebih-lebih lagi hak keistimewaan bagi satu kaum sahaja, merupakan satu langkah ke belakang dalam proses pembentukan negara demokrasi tulen.

Dalam sebuah negara demokrasi, mereka berhujah, tidak ada hak yang lebih tinggi daripada hak individu dan semua individu harus dilayan secara sama rata.

Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman bersama Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan yang terlibat secara langsung dalam pembikinan kontrak sosial adalah para demokrat tulen. Tetapi mereka berhadapan dengan hakikat politik masyarakat majmuk Malaysia pasca merdeka yang tidak memungkinkan idealisme demokrasi, dengan konsep hak dan kebebasannya yang muluk-muluk, dijelmakan secara total.

Ketika perbezaan ras dan agama masih menebal, mereka mengambil tindakan pragmatik dengan menjadikan pemeliharaan hak-hak kaum, bukannya hak-hak individu semata-mata, sebagai asas persefahaman antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pragmatik

Tindakan pragmatik ini dibuktikan dengan penolakan mereka terhadap saranan-saranan 'ideal' Suruhanjaya Reid yang menetapkan had 15 tahun perlindungan Perlembagaan terhadap hak keistimewaan Melayu (selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, hak keistimewaan ini turut diberikan kepada kaum pribumi Sabah dan Sarawak).

Atas semangat kompromi politik antara kaum, pemimpin-pemimpin kaum tetap dengan pendirian asal mereka mengenai hak-hak keistimewaan Melayu, hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Dengan penegasan ini, kontrak sosial Malaysia berjaya disepakati oleh mereka. Kontrak ini telah memberikan hak yang baru kepada masyarakat bukan pribumi. Yang dimaksudkan dengan 'hak baru' ini ialah hak kerakyatan yang terangkum segala hak-hak politik, ekonomi, budaya dan agama.

Hak kerakyatan ini merupakan satu hak yang tidak ada tolok bandingnya. Dengan sekelip mata, masyarakat yang dahulunya tiada apa-apa hak di Tanah Melayu, mempunyai hak-hak asasi sebagai rakyat dalam sebuah negara yang merdeka.

Dengan menerima konsep kerakyatan yang sama bagi semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, kontrak sosial tidak mengkelaskan mana-mana kaum sebagai rakyat 'kelas pertama' atau 'kelas kedua.'

Bagi kaum Melayu pula, mereka diberi jaminan bahawa hak-hak yang telah mereka nikmati selama ini, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian-perjanjian antara Raja-Raja Melayu dengan penjajah Inggeris sebelumnya, tidak akan terjejas dengan pemberian hak-hak baru kepada kaum bukan Melayu. Dengan erti kata lain, status quo kaum Melayu sebagai masyarakat pribumi di negara ini akan terus terpelihara.

Tunku Abdul Rahman menyimpulkan formula kompromi politik antara kaum yang menjadi asas kepada kontrak sosial Malaysia dalam ucapannya di Majlis Perwakilan Persekutuan dalam bulan Julai 1957 seperti berikut:

"Satu formula telah dipersetujui di mana dalam mempertimbangkan hak-hak pelbagai orang di negara ini, tiada cubaan harus dibuat untuk mengurangkan hak- hak yang telah mereka nikmati pada masa lalu. Hasilnya, anda dapati termaktub dalam Perlembagaan hak-hak pelbagai orang yang telah mereka nikmati pada masa lalu dan hak-hak baru, yang sebenarnya diberikan kepada orang-orang baru yang menjadi niat kita untuk memenangi hati mereka dan merangkul mereka ke dalam Bangsa Malaya. Saya merujuk kepada hak-hak kerakyatan. Ia merupakan satu hak yang telah menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan orang Melayu. Walau bagaimanapun, oleh kerana hasrat mereka untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara yang merdeka, mereka bersedia untuk memberikan hak tersebut kepada orang-orang baru."

Dalam konteks ini, kontrak sosial Malaysia merupakan persefahaman yang bersifat 'win-win'. Mempertahankan kontrak sosial bukan bermaksud mempertahankan hak kaum Melayu/bumiputera sahaja, tetapi juga hak kaum-kaum bukan Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Memahami kontrak sosial dalam semangatnya yang benar tentu sekali memberi kekuatan kepada masyarakat pelbagai kaum untuk memperkukuhkan perpaduan.

Lebih penting lagi, kontrak sosial berasaskan persefahaman kaum ini merupakan idea asas pembentukan negara Malaysia merdeka. Terma-termanya bukanlah sesuatu yang boleh dirungkai sesuka hati. Merungkai kontrak sosial tentunya akan membuka semula pandora's box debat hubungan kaum dan pembentukan negara yang merupakan satu langkah ke belakang.

(Sumber : Utusan Malaysia, 31 Oktober 2008)

1 comment:

  1. Bicara tuan hamba ada benarnya.Sepatutnya komtrak itu untuk kebajikan rakyat Malaysia dan tentang kepentingannya perlu ditelusuri tanpa prasangka....nanti hamba akan berbicara tentang isu ini melalui blog hamba...tungggu nanti....masih dalam proses...tq

    ReplyDelete