Pages

Monday, October 20, 2008

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Seringkali kita mendengar ungkapan 'sejarah sebagai panduan' ataupun 'bangsa yang berjaya adalah bangsa yang mengenal sejarah' selain ungkapan lirik lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim iaitu '...sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa....' serta lain-lain ungkapan atau pernyataan yang seumpama dengannya. Jelas secara umumnya, ia memberi penekanan terhadap kepentingan bukan sahaja mengenali sejarah bahkan yang lebih penting ialah menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa sejarah. Ungkapan 'sejarah berulang kembali' yang juga sering menjadi halwa telinga ada kebenaran dan mempunyai makna yang tersendiri. Ia bukanlah mengulangi sebagaimana yang telah berlaku dalam erti kata yang sebenarnya, tetapi perkara atau peristiwa yang telah berlaku itu boleh berulang dalam keadaan dan situasi pada masa kini seandainya iktibar sejarah itu dikesampingkan. Sejarah telah membuktikan perbalahan dan pertikaian yang tiada kesudahan membawa kepada bencana serta malapetaka yang sukar dilupakan, juga menyaksikan kejatuhan tamadun dan pemimpin agung yang payah untuk dimengertikan. Sejarah bukan dilihat dari sudut peristiwa semata-mata, bahkan yang perlu diberi penekanan ialah persoalan sejauhmana kita mampu berfikir, merenung dan cuba untuk memastikan peristiwa tersebut tidak lagi berulang.

Generasi hari ini perlu diberi kesedaran tentang kepentingan sejarah. Kemajuan negara, kemakmuran ekonomi dan kecanggihan prasarana serta teknologi tidak akan mampu berdiri selayaknya jika kepentingan sejarah diabaikan. Biar menongkat langit sekalipun, ia tidak membawa apa-apa makna tanpa sejarah. Lebih memburukkan keadaan, sejarah dilihat seolah-olah tidak relevan dalam meniti arus kemajuan memandangkan kedudukannya yang tidak diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Justeru, saranan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mata pelajaran sejarah dijadikan mata pelajaran wajib di peringkat sekolah rendah sangat tepat dan perlu disokong serta disegerakan. Ini adalah perlu bagi menjamin generasi akan datang mengenali sejarah bangsa dan negaranya sendiri.

Sejarah sememangnya penting kepada generasi hari ini untuk mengenali dirinya sendiri, susur galur kewujudannya dan mengetahui catatan-catatan kejayaan dan kegagalan di atas muka bumi ini. Justeru, iktibar akan diperolah dari peristiwa-peristiwa ini. Sejarah adalah pemandu dan pencetus semangat serta mencelikkan mata untuk memacu kehidupan dan menjaga keharmonian negara tercinta ini. Tambahan pula, dalam keadaan kita sering menghadapi ancaman pelbagai krisis nilai ; nilai sosial, nilai kemanusiaan, nilai budaya, nilai politik dan sebagainya, bingkisan sejarah sangatlah penting. Bangsa yang jahil mengenali sejarah bangsanya adalah bangsa yang gelap di dalam dunia yang terang. Oleh yang demikian, sejarah amat berperanan dalam pembangunan bangsa dan negara. Sejarah bukan untuk didengar atau dikenal semata-mata, jauh sekali untuk bernostalgia, tetapi ia menjadi panduan dan menitipkan pengalaman dalam mematangkan nilai-nilai kehidupan.

Sekian, jumpa lagi....seadanya.
UKM, Bangi.

1 comment:

  1. As educated people, kita kena sedar bahawa sejarah juga banyak diputarbelitkan oleh mereka yang menyampaikannya. Sejarah diceritakan kembali mengikut persepsi masing-masing untuk tujuan dan agenda masing-masing. Kekadang penulis sejarah atau penceritanya bukan mempunyai niat tertentu selain daripada menceritakan sesuatu kejadian atau peristiwa tetapi apa yang disampaikannya juga bergantung kepada persepsinya. Persepesi seseorang juga bergantung kepada latarbelakang nilai seorang. Persepsi dan pemahaman seseorang tentang satu fakta sejarah juga bergantung kepada sejauh mana dia paham atau sedia maklum tentang budaya sesuatu kaum atau masyarakat atau komuniti di mana perkara itu berlaku.
    SO my friend, not everything happened exactly how the story teller tells you: After all "HISTORY" is "HIS" "STORY" - simply put, .. one man's story....
    Satu contoh kegemaran saya adalah di dalam negara kita sendiri... Dato Maharajalela merupakan "pengganas" di mata orang putih dan "pejuang" di mata orang Melayu.
    Case closed...!
    Jangan marah..Mamak beri pendapat dari persepsi mamak mah....

    ReplyDelete