Pages

Saturday, June 20, 2009

20 Jun 2009 (SABTU)

Jam 8.55 minit malam, saya sedang menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur yang dijangka pada jam 9.05 malam. Tetapi telah berlaku kelewatan dan dijangka bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam. Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Kuching. Banyak pengalaman menarik yang diperoleh sepanjang berada selama lima hari di Kuching.


20 JUN 2009 (SABTU)

Hari ini merupakan hari yang terakhir saya berada di Kuching setelah berada di sini selama lima hari bermula 16 Jun 2009. Masa dirasakan begitu pantas berlalu,namun segala kenangan di sini tidak akan saya lupakan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di sini amat berharga dan memberikan banyak pengajaran kepada saya. Hari ini saya akan ke Serikin, salah sebuah destinasi popular membeli belah di Kuching. Kawasan ini terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari bandar Kuching dan tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi tempat ini. Apa yang menarik untuk aktiviti hari ini ialah bapa angkat saya iaitu Hj Ajus akan turut serta bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Saya amat terharu dengan layanan yang diberikan oleh beliau dan juga pihak SMK Bako sendiri yang banyak menyediakan kemudahan sepanjang kami berada di sini. Jumpa lagi....

Friday, June 19, 2009

19 JUN 2009 (JUMAAT)

Assalamualaikum dan salam sejahtera....,


Bersua kembali...Hari ini merupakan hari yang keempat saya berada di Kuching. Semalam 18 JUN 2009, aktiviti bermula seawal jam 7.00 pagi dengan mengadakan lawatan ke daerah Bau dan melakukan kajian lapangan geografi fizikal di Gua Angin. Saya tiba di gua Angin kira-kira jam 9.00 pagi. Selepas menghabiskan masa kira-kira 3 jam di gua tersebut, kami bergerak pula ke Tasik Biru untuk lawatan ringkas. Tasik ini merupakan bekas lombong emas yang terkenal suatu masa dahulu yang terletak berhampiran dengan pekan Bau. Pekan Bau merupakan sebuah pekan yang agak kecil tetapi mempunyai pelbagai kemudahan awam seperti terdapat dua buah stesen minyak Shell, dewan orang ramai, masjid, Kolej Komuniti dan kemudahan-kemudahan lain bagi penduduk-penduduk di kawasan tersebut. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Pekan Batu 7 untuk makan tengahari dan perjalanan dari pekan Bau ke pekan Batu 7 mengambil masa kira-kira 45 minit dan kami sampai kira-kira jam 1.00 petang.

Tepat jam 2.00 petang, kami bergerak menuju ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Semengoh dan kawasan ini terkenal sebagai pusat perlindungan dan pembiakan orang utan. Kira-kira jam 5.00 petang kami bertolak pulang ke tempat penginapan. Banyak pengalaman menarik yang ingin saya kongsikan bersama, namun kesuntukan masa untuk menceritakan segalanya. Kita jumpa lagi....

Thursday, June 18, 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera...,

18 Jun 2009 (KHAMIS)

Hari ini merupakan hari yang ketiga dalam rangka lawatan ke Kuching. Semalam 17 Jun 2009 (RABU), merupakan hari kedua lawatan. Tapi tidak berkesempatan untuk update memandangkan aktiviti pada hari semalam padat dan tidak mempunyai banyak masa senggang. Aktiviti semalam bermula seawal jam 7.00 pagi menuju ke Taman Negara Bako. Perjalanan bermula dengan menaiki bas awam dari tempat penginapan SMK Bako menuju ke terminal / jeti yang terletak kira-kira 3 km dari tempat penginapan sebelum meneruskan perjalanan selama lebih kurang 30 minit dengan menggunakan bot laju ke taman negara. Sudah menjadi kebiasaan dan amalan, malahan sudah ada perjanjian antara penduduk Kampung Bako dan pihak yang berkenaan bahawa sampai bila-bila masa pun TIDAK AKAN DIBINA jalan raya / jalan darat yang menghubungkan antara kampung Bako dengan Taman Negara Bako. Hal ini memandangkan sebahagian penduduk kampung Bako mengusahakan perkhidmatan bot ke taman negara. Justeru, situasi ini akan menjamin punca pendapatan mereka agar tidak terjejas. Banyak pemandangan dan pengalaman menarik yang akan saya kongsikan bersama sepanjang lawatan ke taman negara menerusi posting2 yang seterusnya. Saya sampai semula ke tempat penginapan kira-kira jam 5.30 petang dan bersedia pula untuk program pada sebelah malam.

Program pada hari yang kedua diteruskan pada sebelah malamnya iaitu majlis Ramah Mesra antara peserta dan guru-guru pengiring dengan Pengetua, para warden asrama dan juga sebahagian pelajar asrama SMK Bako. Banyak agenda menarik disajikan untuk kami pada malam tersebut. Majlis tersebut berakhir kira-kira jam 11.00 malam. Untuk hari yang ketiga 18 Jun 2009 (KHAMIS), aturcara lawatan akan menuju ke Bauk dan meneroka keindahan ciptaan Ilahi di Gua Angin dan juga melawat di sekitar bandaraya Kuching pada sebelah petang. Insyaallah, saya akan terus berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang berada di Sarawak. Jumpa lagi.....

Tuesday, June 16, 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

16 Jun 2009

Penerbangan Air Asia dari LCCT jam 8.20 pagi dan kini saya telah tiba di Kuching pada jam 10.05 pagi sebentar tadi. Agenda lawatan pada pagi ini ialah melawat beberapa buah muzium di sekitar Kuching sebelum menikmati hidangan makan tengah hari di Wisma Satok. Perjalanan akan diteruskan kira-kira jam 2.00 petang menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kampung Budaya (Cultural Village). Seterusnya, aturcara lawatan untuk hari ini akan berakhir di SMK Bako kira-kira jam 6 petang. SMK Bako menjadi tempat penginapan sepanjang lawatan selama 5 hari di Kuching. Sehingga bersua kembali....