Pages

Wednesday, September 29, 2010

DASAR LUAR - PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)


NAJIB ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65, di New York, malam tadi.


AMAL KESEDERHANAAN
Najib gesa dunia wujud kembali keamanan dengan agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat

DATUK Seri Najib Razak menggesa semua negara tanpa mengira agama kembali mewujudkan keamanan dengan mengamalkan agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat bagi mengelakkan penduduk dunia daripada terus tenggelam ke dalam kehancuran umpama hidup dalam neraka.

Dalam ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-65, malam tadi, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya pemimpin dunia kembali kepada agenda keamanan pragmatik dan menghapuskan ekstremis.

“Gerakan Kesederhanaan Sejagat akan menyelamatkan kita daripada tenggelam kepada kehancuran, terus berputus asa dan kehinaan. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan kepemimpinan yang membawa harapan dan mengembalikan maruah serta martabat untuk semua.

"Menerusi keazaman yang lebih kuat dan usaha kolektif, kita mampu mewujudkan dunia yang lebih aman, selamat dan kesamarataan," katanya.

Najib juga berkata, antara cabaran penting dihadapi komuniti antarabangsa yang perlu ditangani secara kolektif ialah memastikan keadilan, kesamarataan dan keamanan berkekalan untuk kini dan selama-lamanya.

Katanya, adalah penting bagi dunia mencapai keamanan yang berasaskan kemahuan sendiri dan bukan secara paksaan atau dipengaruhi oleh ketakutan.
Namun, Perdana Menteri menegaskan ia hanya boleh dicapai jika semua pihak bersedia berbincang menerusi dialog yang akan membantu mewujudkan kefahaman dan persefahaman, selain daripada penghargaan dan hormat menghormati ke arah membina masa depan lebih cemerlang untuk penduduk dunia.

Mengenai proses perdamaian di Asia Barat, beliau menjelaskan Malaysia mengalu-alukan peranan Amerika Syarikat (AS) menerusi pentadbiran Presiden Barack Obama dan sekutunya mencari penyelesaian komprehensif bukan saja untuk isu Palestin-Israel, malah wilayah berkenaan secara keseluruhan.

Bagi merealisasikannya, beberapa perkara perlu ditangani, antaranya Israel perlu memenuhi harapan komuniti antarabangsa yang mahu konflik itu diselesaikan dan AS menggesa Tel Aviv menghentikan pembinaan penempatan baru di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Syarat lain ialah memastikan kesatuan politik di kalangan rakyat Palestin bagi mewujudkan keamanan dan pembangunan semula Semenanjung Gaza dan kedua-dua pihak bertelagah menghentikan keganasan serta memastikan keselamatan orang awam dan menghormati pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Najib juga menyentuh mengenai Islamphobia dan mengutuk tindakan pihak tertentu yang sengaja mengapi-apikan pertelingkahan terhadap Islam serta menyemarakkan lagi usaha memecah belahkan dunia Islam yang luas dengan dunia barat.

"Isu sebenar bukan antara umat Islam dengan bukan Islam, sebaliknya antara kesederhanaan dan ekstremis. Justeru, saya mendesak kita mewujudkan Gerakan Kesederhanaan Sejagat daripada semua kepercayaan agama yang komited untuk bekerjasama memerangi ekstremis yang menjadikan dunia sebagai tebusan hanya kerana ketaksuban dan sikap bias mereka.

"Kita mesti kembali kepada perkara pokok dan moral tinggi yang dirampas daripada kita. Kita mesti memilih kesederhanaan berbanding ekstremis, memilih rundingan berbanding konfrantasi. Kita perlu memilih untuk bekerjasama dan bukan menentang sesama kita. Ia perlu menjadi keutamaan dan bukan hanya diletakkan di sisi kita," katanya.

Beliau juga tersentuh dengan tindakan kumpulan American Evanagelical Christians yang gigih menghalang ancaman membakar al-Quran di AS baru-baru ini serta kesediaan Presiden Obama dan Datuk Bandar New York menyuarakan hak membina Cordoba House yang akan menempatkan masjid dan pusat komuniti antara agama berhampiran bekas tapak World Trade Centre.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga memaklumkan pengalaman Malaysia menguruskan negara berbilang kaum dan agama yang berjaya menjadikan Malaysia dan rakyatnya hidup aman damai serta keseimbangan yang mendorong kepada wasatiyyah atau kesederhanaan mengikut keadilan dalam Islam.

Najib berkata, bagi mencapai perpaduan nasional pelbagai kaum dan agama, falsafah 1Malaysia diperkenalkan akan membawa negara ke arah keharmonian dan semangat toleransi yang lebih kukuh.
(Sumber : http://www.bharian.com.my) 28/09/2010

KENEGARAAN - KEKOSONGAN LUAR JANGKA

Speaker hantar surat kekosongan kerusi DUN Galas

 KOTA BHARU 28 Sept. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah pun menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaiman semalam.
Speakernya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut hari ini melalui sepucuk surat yang difakskan ke ibu pejabat SPR kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, pihaknya turut menghantar surat susulan melalui pos laju selepas menerima salinan sijil kematian wakil rakyat berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Kita kemudiannya terus menghantar surat kepada SPR melalui faksimili bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas, disusuli dengan surat yang dihantar menggunakan pos laju,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, kini terpulang kepada SPR untuk menentukan bila tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan.

Pilihan raya kecil Galas Oktober?

PUTRAJAYA 28 Sept. – Pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober serta Perhimpunan Agung UMNO dari 19 hingga 23 Oktober ini akan diambil kira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, seperti mana penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu, SPR ketika itu mempertimbangkan kesibukan Pas mengendalikan Muktamar Tahunan parti berkenaan beberapa hari sebelum ia berlangsung.
“Ini untuk memastikan wujud kesaksamaan kepada parti-parti yang bertanding untuk buat persiapan.
“Malah bukan itu sahaja, kita juga mempertimbangkan penetapan suatu tarikh berkenaan agar tidak bertindih dengan acara-acara yang besar seperti Hari Keputeraan sultan atau perayaan lain.
“Jadi, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober ini untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian DUN Galas. Sehingga petang ini, SPR belum menerima surat daripada Speaker DUN Kelantan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Kerusi Galas kosong setelah penyandangnya dari Pas, Che Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur petang semalam.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

(Sumber : http://www.utusan.com.my) 29 Oktober 2010