Speaker hantar surat kekosongan kerusi DUN Galas
 KOTA BHARU 28 Sept. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah pun  menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan  kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek  Hashim Sulaiman semalam.
Speakernya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya telah  memaklumkan perkara tersebut hari ini melalui sepucuk surat yang  difakskan ke ibu pejabat SPR kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, pihaknya turut menghantar surat susulan melalui pos  laju selepas menerima salinan sijil kematian wakil rakyat berkenaan  kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Kita kemudiannya terus menghantar surat kepada SPR melalui faksimili  bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas, disusuli dengan surat  yang dihantar menggunakan pos laju,” katanya kepada Utusan Malaysia hari  ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, kini terpulang kepada SPR untuk menentukan bila tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan.
Pilihan raya kecil Galas Oktober?
PUTRAJAYA 28 Sept. – Pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober serta  Perhimpunan Agung UMNO dari 19 hingga 23 Oktober ini akan diambil kira  oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh penamaan  calon dan pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)  Galas.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, seperti mana  penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu, SPR  ketika itu mempertimbangkan kesibukan Pas mengendalikan Muktamar Tahunan  parti berkenaan beberapa hari sebelum ia berlangsung.
“Ini untuk memastikan wujud kesaksamaan kepada parti-parti yang bertanding untuk buat persiapan.
“Malah bukan itu sahaja, kita juga mempertimbangkan penetapan suatu  tarikh berkenaan agar tidak bertindih dengan acara-acara yang besar  seperti Hari Keputeraan sultan atau perayaan lain.
“Jadi, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober ini untuk menetapkan  tarikh hari penamaan calon dan pengundian DUN Galas. Sehingga petang  ini, SPR belum menerima surat daripada Speaker DUN Kelantan memaklumkan  kekosongan kerusi DUN Galas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari  ini.
Kerusi Galas kosong setelah penyandangnya dari Pas, Che Hashim  Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital  Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur petang semalam.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.
(Sumber : http://www.utusan.com.my) 29 Oktober 2010 

 
 
No comments:
Post a Comment