Pages

Friday, October 10, 2008


10 syawal 1429 H

Jemputan ke rumah terbuka saban hari merancakkan lagi sambutan aidilfitri kali ini. Meriah dan memang meriah. Sesekali berjumpa macam-macam cerita dapat disembangkan. Namun, dalam kita bergembira menyambut lebaran ini, jangan lupa bahawa kita juga perlu menjaga adab-adab dan tatasusila semasa aidilfitri ini, terutamanya dalam menjayakan aktiviti rumah terbuka. Mungkin dengan sedikit catatan ini dapat menjadi renungan dan santapan mata buat semua, terutama buat diri penulis sendiri.


Meraikan aidilfiri dan rumah terbuka

Di samping kita meraikan dengan amalan yang bertepatan maka janganlah dicemari kesucian hari raya dengan perbuatan yang melanggari batas-batas syarak. Kemungkinan di kalangan kita mempunyai hasrat untuk menjemput rakan taulan, jiran, saudara mara dan tetamu istimewa dengan mengadakan rumah terbuka.

Sebagai contohnya, jika kita sebagai tuan rumah janganlah hendaknya menghidangkan hiburan yang melampaui batas kepada para tetamu sehingga melalaikan urusan fardu yang lain. Dilarang juga aktiviti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, memperagakan pakaian yang menjolok mata serta mendedahkan aurat.

Hidangan kepada tetamu juga mestilah mengikut panduan Islam dengan menyediakan hidangan atau juadah yang halal, mengelakkan melakukan pembaziran ketika mengadakan rumah terbuka dan tidak wajar mengasingkan antara golongan kaya dan meminggirkan golongan miskin. Hiaskanlah wajah dengan senyuman ikhlas lagi menawan agar tetamu yang hadir merasa disambut dengan penuh sopan.

Perayaan juga bukanlah alasan untuk kita mengabaikan kewajipan solat lima waktu. Di sebalik kesediaan kita menerima para tetamu janganlah hendaknya menjadikan alasan tidak sempat lagi untuk bersolat akibat terlalu sibuk dan gembira melayan jemputan yang tidak putus tiba. Betapa ruginya hari kemenangan ini menjadikan kita lalai daripada ibadat fardu semata-mata kerana menganjurkan acara rumah terbuka, ingatlah bahawa solat itu tiang agama.

Berkunjung dan membalas ziarah ke rumah orang lain menjadi aktiviti yang sangat digalakkan. Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa adanya acara ziarah menziarahi ke rumah-rumah kenalan mahupun saudara mara. Adab yang utama ketika menikmati keenakan makanan bersama-sama orang lain agar golongan yang muda hendaklah mendahulukan orang tua.

Sebaik-baiknya jangan berdiam diri sahaja kerana begitu asyik menikmati hidangan yang pelbagai rasa. Wujudkan situasi eratnya hubungan sesama Muslim kerana ikhlas kepada Allah SWT. Dibolehkan untuk berbual-bual dan bercakap perkara-perkara yang menggembirakan dan bermakna. Saling mempelawa atau menjemput tetamu lain menikmati juadah dan berbicara agar nampak mesra dan tiada beza.

Ingatlah bahawa sebagai tetamu kita juga perlu menjaga batasan peribadi diri, menghormati dan menghargai kesediaan tuan rumah menyambut kehadiran kita.

Akhlak terpuji menjadi intipati utama ketika meraikan perayaan Aidilfitri. Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita dan pernah bersabda yang bermaksud "Takutlah kepada Allah SWT di mana sahaja engkau berada dan ikutlah suatu keburukan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi, juga bergaullah dengan seluruh manusia dengan budi pekerti yang bagus." (Hadis riwayat Tarmizi).

Betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas melaksanakan syariat Islam meskipun ketika saat meraikan Syawal sebagai bulan kemenangan untuk seluruh umat Islam. Hiaskanlah hari perayaan ini dengan adab yang bertepatan dengan ajaran Islam.

Sekian, jumpa lagi....

No comments:

Post a Comment