Pages

Friday, October 17, 2008

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Berjumpa lagi, hanya kata-kata tanpa bersua muka. Penulis amat tertarik dengan laporan muka depan akhbar arus perdana hari ini. Hampir semua akhbar melaporkan perkara yang sama. Banyak ulasan lanjut dan juga hal-hal yang berkaitan perkara tersebut boleh dibincangkan, lebih-lebih lagi dari perspektif ilmiah dan bersifat akademik agar ia dapat dilihat dari perspektif dan sudut pandang yang berbeza. Wacana ilmiah amat perlu bagi menjelaskan isu-isu seperti ini agar penjelasan yang sebenarnya dapat diketengahkan, memandangkan ia jarang sekali diperkatakan serta diberikan reaksi secara terbuka. Semoga kita dapat berbicara secara sihat dan dapat bertukar-tukar fikiran. Penulis ingin memetik laporan akhbar berkaitan isu tersebut.


PERINGATAN RAJA MELAYU
(utusan malaysia, 17 oktober 2007)

KUALA TERENGGANU 16 Okt. — Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.






2 comments:

  1. Bagaimana dengan PPSMI...bahasa Melayu yang sering diperlekeh dalam negara bagaimana pula.minta kerajaan kembalikan martabat bahasa Melayu ... cemerlang, gemilang dan terbilang.Peringatan untuk golongan yang melampau...

    ReplyDelete
  2. Ini semua mainan politik diaorang. Bila dah nazak baru ingat kat RAJA...

    ReplyDelete