Pages

Tuesday, April 24, 2012

Edisi Santai - Ilham Di Tepi Tasik

 

Salah sebuah karya A. Samad Said - Ilham Di Tepi Tasik

Assalamualaikum wbt, 

Aku yakin bahawa tokoh ini tidak perlu lagi diperkenalkan dengan panjang lebar. Sebetulnya, sejak zaman persekolahan dahulu aku sudah meminati karya-karya A. Samad Said, apatah lagi dengan latar belakang beliau yang merupakan anak kelahiran negeri Melaka membuatkan aku berasa amat 'rapat' dengannya. Aku masih ingat ketika aku menuntut di Universiti Malaya (UM) sekitar tahun 1999, aku pernah terserempak dengan Sasterawan Negara ini di Hentian Puduraya (sayang sekali - ia telah ditukar menjadi Pudu Sentral), menaiki bas yang sama dengan aku untuk pulang ke Melaka. Antara karya beliau yang menarik minatku ialah sebuah novel yang berjudul 'Salina'. Bahkan, novel ini seringkali aku baca dan fahami tatkala untuk mendapatkan 'feel' bagi menyiapkan tesis Sarjana dalam bidang Sejarah Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah pun berjaya disempurnakan pada tahun 2011. Seperkara lagi yang perlu aku jelaskan ialah blog ini juga mendapat ilham daripada karya beliau yang berjudul 'Ilham Di Tepi Tasik' yang mana ungkapan ini aku gunakan sebagai 'profil' blog. Ternyata bahawa ungkapan ini amat sesuai dan begitu mendalam sekali pengertiannya, bahkan memberikan roh dan jiwa terhadap usaha-usaha aku mengupdate blog selama ini. Ternyata, tokoh yang telah menjangkau usia 77 tahun ini masih lagi aktif mengutarakan 'ilham-ilhamnya' melalui wadah perjuangan yang berbeza, bukan sahaja melalui puisi-puisi, bahkan beraksi di lapangan - merasai denyut nadi kehidupan. Itulah A. Samad Said.


Justeru, sebagai penghormatanku terhadap tokoh ini, aku petik sebuah ulasan dari blog yang telah melakukan 'pembedahan' terhadap buku 'Ilham Di Tepi Tasik' sebagai tatapan dan renungan. Terima kasih kepada kalian yang sudi bertamu dan berkongsi idea serta maklumat selama ini. Semoga aku diberikan kekuatan dan ilham untuk meneruskan perkongsian ilmu, idea dan pengalaman.

Terima kasih.

p/s : Penghargaan ini aku tujukan untuk pemilik blog http://productionhidup.wordpress.com atas ulasan beliau mengenai karya A. Samad Said, ILHAM DI TEPI TASIK.

Saya petik ulasan tersebut :


Gambaran awal Ilham Di Tepi Tasik sebenarnya diharapkan saya sebagai suatu pembacaan yang santai dan rileks, tapi ternyata istilah santai dan rileks seorang seniman adalah tidak sama seperti istilah santai dan rileks yang selalu diguna pakai oleh orang ramai. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya adalah terlalu  kompleks untuk difahami oleh orang kebanyakan. Istilah santai dan rileks seorang seniman rupanya lebih banyak menjengah ke dalam dunia menginsafi. Dalam mengenang, lebih banyak mengenang tragedi-sedikitnya senang hati. Dalam berfikir masih  sibuk menafsir, disamping turut mengerah ‘akal seninya’ untuk ‘melihat’ menembusi ‘hijab’ tentang apa yang sebetulnya terjadi.

Di sinilah kita dapat mendengar renungan A. Samad Said dalam waktu rileks dan santainya. Ketika usianya sudah mengusai satu dasawarsa, setelah banyak yang beliau melihat dan baca, naskah ini bagai memanggil beliau untuk menyorot kembali kisah-kisah ria-duka lama dan kini. Naskah ini bercerita tentang kehidupannya dan pengamatannya yang sempat dirakamkan. Walaupun jika kita melihat pada satu perspektif, seolah-olah beliau lebih berimbang dan amat empuk di dalam goyangan buaian sastera, kerana memang beliau ialah ahlinya, tetapi buaian sastera beliau rupanya terhanyun sangat jauh. Ia bukan sahaja meliputi seputar asia, malah mengajak kita sampai ke Rusia, melanggar sempadan sastera Eropah dan berpusing kembara di negara Timur Tengah. Bila ceritanya seputar kenangan dan pengalaman, kita dijemput untuk kembali melihat getir-getir kehidupan dekad 50-an dan 60-an, serta merta disuruh untuk membuat perbandingan.

Buku ini ialah sebuah buku yang sangat berwarna warni-kan seni. Ada kisah tentang pengalaman yang mengajar, agar kita barangkali dapat menjalin sedikit iktibar, ada kritikus seni seputar kanvas sasterawi yang sangat luas tanpa ditanda halangan, ada pertanyaan yang begitu menginsafi dan menasihati, ada kenangan yang melakar bahagia-menggarit derita, juga rupanya ada rahsia sulit yang tersangat berbisik-mendesahkan sekuntum rumit.

No comments:

Post a Comment