Sebut sahaja Tingkatan Enam, sudah ada pelbagai persepsi mengenainya. Tidak kurang yang menunjukkan minat tetapi pada masa yang sama, ada juga yang mempunyai persepsi yang negatif. Apa pun, Tingkatan Enam ini merupakan salah satu saluran untuk para pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya menduduki peperiksaan STPM pada Tingkatan Enam Atas. Untuk memberi nafas baharu kepada Tingkatan Enam dan STPM, maka Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2012 telah bersetuju meluluskan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem pentaksiran STPM sedia ada untuk sesi pengambilan tahun 2012/2013. Sistem pentaksiran baharu STPM ini dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian kajian bidang disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal iaitu Penggal 1, Penggal 2 dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1 1/2 tahun. Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem pentaksiran baharu STPM ini, bolehlah melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia, http://www.mpm.edu.my. Sebagai salah seorang tenaga akademik Tingkatan Enam yang mengajar subjek Pengajian Am, aku berkeyakinan bahawa perubahan ini pasti membuahkan impak yang positif terhadap persepsi Tingkatan Enam. Dengan perubahan yang dilakukan, Tingkatan Enam pasti akan menjadi pilihan utama lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya menjejakkan kaki ke universiti. Jom Form 6 !
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment