Pages

Sunday, February 1, 2009

(Sambungan Paparan Lalu)

Dalam teks yang sama ada beberapa gambar orang Melayu. Swettenham memuji rupa wajah dan pakaian perempuan-perempuan Melayu yang memang sungguh ayu dan menarik dalam dua keping gambar.

Ada dua gambar lain yang elok juga kita baca keterangannya bagi menyelami persepsi dan pendapat pegawai British ini terhadap orang kita pada zaman dahulu. Gambar pertama : seorang lelaki Melayu berkopiah ketayap dan berkaki ayam menarik tenggala (bajak) , dan seorang perempuan berkain, dan bertudung kepala menyorong dari belakang. Keterangan atau caption gambar berkata begini:

MELAYU MALAS BERSUSAH PAYAH MEMBAJAK TANAH
" Alat yang digunakan oleh orang Melayu untuk pertanian sangatlah kuno; sebuah tenggala biasanya dibuat daripada cabang pokok dengan mata tenggalanya berbentuk kasar. Waktu lama yang memenatkan digunakan oleh buruh tani ini bagi mengerjakan tanah kepunyaannya, kerana mereka sangat tak suka berkerja tekun, dan kemalasan serta tabiat suka berseronok membuat mereka lebih suka berhutang daripada mencari wang."

Gambar kedua menunjukkan sepasang lelaki memakai kain, sepatu dan berketayap sedang menari, dan tiga orang lain bertinggung sedang asyik menonton.Keterangan gambar berbunyi begini:

TARIAN MELAYU DENGAN GERAKAN PENUH BERGAYA
" Bagi orang asing tarian ini memang membosankan--ulangan gerak geri yang itu itu juga; tetapi orang Melayu meminati apa yang dilakukan oleh penari mereka, dan sorakan penonton disambut dengan suara pekikan pujian daripada pemukul gendang yang memukul dengan sekuat-kuatnya gendang yang kosong."

Nampaknya Swettenham merumuskan bahawa bangsa Melayu ini memang baik hati dengan orang, bersopan, hormat, mesra, dan bergaya , tetapi boleh pula tanpa diduga mengamuk sampai membunuh. Melayu juga katanya: malas, tak suka bekerja kuat, leka berseronok dan suka berhutang daripada bekerja tekun mencari wang.

Barangkali kalau orang Melayu rajin dan tekun bekerja tentu hasil negeri bertambah berlipat ganda dan Inggeris akan memuji kerana boleh menjadikan Melayu hamba abdinya untuk mengaut lebih banyak wang untuk dihantar ke London sebagaimana dia ceduk daripada bijih timah dan getah yang dikerjakan oleh bangsa Cina dan India yang dianggapnya kuli. Tapi takkanlah bangsa Melayu macam itu juga sampai hari ini kerana sekarang sudah merdeka daripada penjajah Inggeris. Terserahlah apa yang anda fikirkan.

No comments:

Post a Comment