Pages

Thursday, October 30, 2008

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Papan tanda jalan mesti guna bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Papan tanda jalan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan dan ditulis dalam tulisan rumi, kata Timbalan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamarul Zaman Shaharudin.
Menurut beliau, berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
''Dalam konteks papan tanda jalan, DBP berpendirian bahawa apa-apa yang berkaitan dengannya adalah di bawah maksud rasmi, oleh itu ia hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang yang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan tapak warisan di Georgetown.
Menurut Kamarul Zaman, berdasarkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi kecuali bagi perkara yang tertakluk kepada perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan.
Beliau memberitahu, bagi dokumen rasmi termasuk risalah promosi pelancongan yang dikeluarkan oleh kerajaan, ia juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.
Begitupun jelas beliau, ia boleh diterjemah dalam bahasa lain bagi maksud yang difikirkan perlu untuk kepentingan awam seperti yang dibenarkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
''Penggunaan bahasa kebangsaan akan menyerlahkan identiti dan jati diri dalam mengekalkan warisan budaya kebangsaan serta mempromosikan bahasa kebangsaan kepada pelancong asing,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menyokong DBP dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dan merujuk DBP dalam hal berkaitan bahasa kebangsaan selaras dengan tujuan penubuhan DBP di bawah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Akta 213).

1 comment:

  1. Tuan,

    Sebenarnya perihal bahasa Melayu ini sudah tidak wajar menjadi isu kerana menjadi antara persetujuan terawal politik dalam hubungan PUTERA-AMCJA yang memuktamadkan bahawa Melayu sebagai rupa bangsa dan citra warganegara bagi Malaysia. Inilah antara kontrak sosial terawal penduduk Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) yang dapat dilihat dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 oleh Perikatan UMNO-MCA-MIC iaitu "menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

    Namun kini setelah kemerdekaan berusia setengah abad sejauhmana kata dikota? Ketika semua orang menunding jari telunjuk pada kaum lain saya rasa 3 jari yang lain akan menunjuk pada batang tubuh Melayu itu sendiri yang mengkhianati warisan bahasa leluhur mereka. Jawapannya saya kira dalam satu frasa dan premis iaitu "Memelayukan Bahasa dan Membahasakan Melayu".

    ReplyDelete