Pages

Wednesday, May 13, 2009

Pandanglah dia dengan pandangan mataku.....

Telah sampai cerita bahawa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh-pesuruhnya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanya peri kisah kekasihnya Majnun. Apabila tiba Laila di hadapannya, Baginda bertanya ; 'Wahai Laila, kau yang kecantikanmu masyhur seluruh alam ; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi! - aku ingin menatap wajah Majnun , ingin tahu sifat rupa yang kau cintai dengan teguh dan jujur itu'. Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahawa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu ke mana. Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk mencari Majnun hingga dapat supaya dibawa ke hadapannya. Pesuruh mencari di kota, di kampung, di dusun hingga akhirnya di pinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Di situ beliau mendapat khabar bahawa ada seorang yang berdiam sebatang kara di padang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang yang sudah gila. Orang itu dibawa ke hadapan Baginda Sultan yang sambil terkejut hairan memandang rupa menyangkal sangkaan, berkata ; 'Inikah Majnun? Inilah rupa yang kau cintai ; yang hitam legam kurus kering ini, yang kotor hodoh - wahai Laila, inikah Majnunmu!?' 'Tuanku', sahut Laila, 'Tuanku harus memandang dia dengan pandangan mataku'.......Begitulah Laila cintakan Majnun, teguh dan jujur laksana Bintang Utara ; menyorotkan cinta yang benar yang dapat menembusi cacat pandangan zahir menuju tepat pada hakikat batin.
PPSPS,
4.45 pm.

No comments:

Post a Comment