Sebuah lagi majalah bulanan terbitan DBP ialah DEWAN BUDAYA. Dalam keluaran April 2009, fokus utama berkisar terhadap keperluan untuk memahami adat resam dan juga budaya yang dilihat semakin jauh terpinggir dalam kehidupan bermasyarakat. Umpamanya sebuah rencana hasil tulisan A. Aziz Deraman yang memfokuskan mengenai kepentingan memahami adat resam di samping memberi kupasan yang menarik mengenai senario terkini masyarakat terhadap kefahaman mereka tentang adat resam. Hal ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya memandangkan kemegahan bangsa terletak pada penghayatan mereka terhadap adat resam dan budaya. Mungkin coretan beliau wajar dijadikan renungan buat kita bersama....
Memahami Adat Resam
Oleh A. Aziz Deraman
SEPANJANG setahun yang lalu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, negara dikejutkan bermacam perkara. Banyak isu ditimbulkan satu demi satu tanpa kesudahannya. Kesemuanya berpunca daripada sikap, tabiat dan pandangan tokoh-tokoh politik. Isu-isu yang sama menular pula ke dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO). Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) mengakibatkan timbul keberanian baharu parti pembangkang. Sekarang parti pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di beberapa buah negeri. Para pemimpin bukan Melayu begitu lantang mencabar pelbagai dasar negara, institusi raja, menyelar dan menuduh yang bukan-bukan. Sesekali lontaran balas dengan cara yang sama datangnya dari parti komponen kerajaan sendiri. Dalam beberapa hal telah menimbulkan pertikaian antara golongan tertentu dengan institusi ini lalu menunjukkan kefahaman tentang adat resam dan budaya nampaknya tohor benar. Malaysia berada di ambang krisis nilai dan budaya yang agak luar biasa mulai abad ke-21 ini. Memang kuasa politik boleh menentukan corak dan warna kehidupan kita yang berbangsa dan bernegara. Kadang-kadang cara bercakap, berhujah, menegur dan menyampaikan kritikan, jika tidak dipengaruhi emosi, kelihatan terlalu biadab dan kurang adab. Agaknya daripada pemimpin di lapisan atas sehingga turun ke tengah-tengah masyarakat, kita seperti hilang penghayatan terhadap adat resam. Kita berbicara dan berkomunikasi dengan cara yang sangat kasar. Lalu timbullah sifat-sifat kebiadaban, kurang ajar, tidak berbudi bahasa, tidak sopan dan jauh sekali memperlihatkan citra menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara yang antara lainnya menekankan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan. Rupa-rupanya senario baharu kehidupan berbangsa dan bernegara ini, jika tidak dibendung akan membawa kita menuju kepunahan kebudayaan.
Kalau kebudayaan itu dilihat dari sudut empat bidang utamanya, yakni pemikiran dan falsafah, kesenian, nilai dan norma serta aspek-aspek kebendaan, maka adat resam sebagai unsur penting nilai budaya yang kait-mengait pula dengan pemikiran dan falsafah bangsa, lambat-laun ikut pupus daripada penghayatan masyarakat. Kaedah kita bernegara yang selama ini jelas dari segi konsep dan falsafah kenegaraan sebagaimana perkara pokoknya dan dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah mula dipertikai dan diperlekehkan orang. Sesungguhnya Malaysia dibentuk berasaskan sejarah ketamadunannya sendiri, berlatarbelakangkan sejarah silam, sistem pemerintahan dan sistem baharu yang diwujudkan sesudah kemerdekaan 1957 – kini semacam tidak diendahkan lagi. Keadaan menjadi agak terbalik apabila masyarakat mulai tidak menghormati adat resam dan budaya sendiri.
Adat resam meliputi banyak bidang kehidupan sesuatu bangsa, dari aspek politik sehinggalah kepada nilai dan norma budaya yang menjadi amalan masyarakat. Jika diambil contoh adat berpolitik, maka keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Tujuan berpolitik dan perjuangan perkauman sepatutnya tidak mudah mempermainkan isu-isu tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, institusi raja, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta peranan dan tanggungjawab yang lain dalam Perlembagaan.
Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Budaya April 2009 Kini di pasaran... dapatkan segera!
No comments:
Post a Comment