Pages

Friday, January 28, 2011

KENEGARAAN - SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA

pix_gal0


Foong ketuai Suruhanjaya Siasatan kes Beng Hock
Oleh Magendran Rajagopal

2011/01/27 (http://www.bharian.com.my)

PM umum pelantikan selepas diperkenan Seri Paduka

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong, dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat ahli lain ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shahrom.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim pula dilantik Setiausaha, manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh; Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa turut dilantik selaku Pegawai Pengendali suruhanjaya berkenaan. 

Pelantikan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sudah berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950," katanya dalam kenyataan.

Kerajaan menetapkan terma rujukan suruhanjaya terbabit untuk menyiasat sama ada wujud apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan laporan Shah Alam nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan mengesyorkan tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya itu juga bertanggungjawab menyiasat kematian Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Najib berkata, suruhanjaya dikehendaki menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporan harus diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.










No comments:

Post a Comment