OECD iktiraf Melaka negeri maju
Melaka kini boleh diiktiraf sebagai negeri maju 2010  selepas memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan  Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris,  Perancis.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, OECD berpuas hati  dengan prestasi Melaka apabila berjaya memenuhi kesemua 32 indikator  yang telah ditetapkan bagi memenuhi hasrat Melaka untuk diiktiraf  sebagai negeri maju tahun ini.
Menurutnya, hasil taklimat yang diberikan oleh Pengarah Unit  Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Zainal Husin, pihak OECD  menyifatkan Melaka boleh diiktiraf sebagai negeri maju 2010.
"Pengarah OECD, Jonathan Hall berpuas hati dengan taklimat yang  diberikan dan beliau menyifatkan Melaka telah memenuhi kesemua 32  indikator yang telah ditetapkan dan mencapai tahap 96 peratus.
"Tiada takrif sebenarnya untuk negeri maju kerana ia bergantung  kepada penerimaan rakyat. Bagaimanapun, segala kriteria yang ditetapkan  oleh OECD telah berjaya dipenuhi oleh Melaka dan OECD mengiktiraf  pencapaian kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Paris hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai taklimat dan  perbincangan dengan OECD mengenai 32 indikator yang menjadi kayu  pengukur untuk Melaka diiktiraf sebagai negeri maju.
OECD merupakan pertubuhan ekonomi antarabangsa yang dianggotai 30  negara di seluruh dunia yang mempunyai pendapatan tinggi dan seterusnya  melayakkan mereka digelar sebagai negara maju.
Delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri kini berada  di Paris untuk rangka lawatan kerja rasmi ke Eropah sehingga 27 Mac  ini.
Turut serta ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob;  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh serta Pengerusi  Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan  Koperasi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar  negeri, Datuk Latiff Tamby Chik. 
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, OECD menyifatkan antara perkara  penting berjaya dipenuhi oleh Melaka daripada 32 indikator tersebut  ialah meningkatkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan, kemudahan  bekalan air dan elektrik.
"Saya gembira dengan taklimat yang diberikan, lebih-lebih lagi  apabila OECD berpuas hati dengan pencapaian yang telah kerajaan negeri  lakukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan majlis pengiktirafan Melaka Maju 2010 yang dirancang diadakan pada 20 Oktober ini.

 
 
No comments:
Post a Comment