NAJIB ketika berucap  pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65,  di New York, malam tadi.
AMAL KESEDERHANAAN
Najib gesa dunia  wujud  kembali keamanan dengan  agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat
DATUK  Seri Najib Razak menggesa semua negara tanpa mengira agama kembali  mewujudkan keamanan dengan mengamalkan agenda Gerakan Kesederhanaan  Sejagat bagi mengelakkan penduduk dunia daripada terus tenggelam ke  dalam kehancuran umpama hidup dalam neraka.  
Dalam ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-65, malam tadi, Perdana Menteri berkata,  sudah tiba masanya pemimpin dunia kembali kepada agenda keamanan  pragmatik dan menghapuskan ekstremis.  
“Gerakan Kesederhanaan Sejagat akan menyelamatkan kita daripada  tenggelam kepada kehancuran, terus berputus asa dan kehinaan. Sudah tiba  masanya bagi kita mengamalkan kepemimpinan yang membawa harapan dan  mengembalikan maruah serta martabat untuk semua. 
"Menerusi  keazaman yang lebih kuat dan usaha kolektif, kita mampu mewujudkan dunia  yang lebih aman, selamat dan kesamarataan," katanya.
Najib  juga berkata, antara cabaran penting dihadapi komuniti antarabangsa yang  perlu ditangani secara kolektif ialah memastikan keadilan, kesamarataan  dan keamanan berkekalan untuk kini dan selama-lamanya.
Katanya, adalah penting bagi dunia mencapai keamanan yang berasaskan kemahuan sendiri dan bukan secara paksaan atau dipengaruhi oleh ketakutan.
Namun, Perdana Menteri menegaskan ia hanya boleh dicapai jika  semua pihak bersedia berbincang menerusi dialog yang akan membantu  mewujudkan kefahaman dan persefahaman, selain daripada penghargaan dan  hormat menghormati ke arah membina masa depan lebih cemerlang untuk  penduduk dunia.
Mengenai proses perdamaian di Asia Barat,  beliau menjelaskan Malaysia mengalu-alukan peranan Amerika Syarikat (AS)  menerusi pentadbiran Presiden Barack Obama dan sekutunya mencari  penyelesaian komprehensif bukan saja untuk isu Palestin-Israel, malah  wilayah berkenaan secara keseluruhan.
Bagi merealisasikannya,  beberapa perkara perlu ditangani, antaranya Israel perlu memenuhi  harapan komuniti antarabangsa yang mahu konflik itu diselesaikan dan AS  menggesa Tel Aviv menghentikan pembinaan penempatan baru di Tebing Barat  dan Baitulmaqdis.
Syarat lain ialah memastikan kesatuan  politik di kalangan rakyat Palestin bagi mewujudkan keamanan dan  pembangunan semula Semenanjung Gaza dan kedua-dua pihak bertelagah  menghentikan keganasan serta memastikan keselamatan orang awam dan  menghormati pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Najib  juga menyentuh mengenai Islamphobia dan mengutuk tindakan pihak tertentu  yang sengaja mengapi-apikan pertelingkahan terhadap Islam serta  menyemarakkan lagi usaha memecah belahkan dunia Islam yang luas dengan  dunia barat.
"Isu sebenar bukan antara umat Islam dengan  bukan Islam, sebaliknya antara kesederhanaan dan ekstremis. Justeru,  saya mendesak kita mewujudkan Gerakan Kesederhanaan Sejagat daripada  semua kepercayaan agama yang komited untuk bekerjasama memerangi  ekstremis yang menjadikan dunia sebagai tebusan hanya kerana ketaksuban  dan sikap bias mereka.
"Kita mesti kembali kepada perkara  pokok dan moral tinggi yang dirampas daripada kita. Kita mesti memilih  kesederhanaan berbanding ekstremis, memilih rundingan berbanding  konfrantasi. Kita perlu memilih untuk bekerjasama dan bukan menentang  sesama kita. Ia perlu menjadi keutamaan dan bukan hanya diletakkan di  sisi kita," katanya.
Beliau juga tersentuh dengan tindakan  kumpulan American Evanagelical Christians yang gigih menghalang ancaman  membakar al-Quran di AS baru-baru ini serta kesediaan Presiden Obama dan  Datuk Bandar New York menyuarakan hak membina Cordoba House yang akan  menempatkan masjid dan pusat komuniti antara agama berhampiran bekas  tapak World Trade Centre.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri  juga memaklumkan pengalaman Malaysia menguruskan negara berbilang kaum  dan agama yang berjaya menjadikan Malaysia dan rakyatnya hidup aman  damai serta keseimbangan yang mendorong kepada wasatiyyah atau  kesederhanaan mengikut keadilan dalam Islam.
Najib berkata,  bagi mencapai perpaduan nasional pelbagai kaum dan agama, falsafah  1Malaysia diperkenalkan akan membawa negara ke arah keharmonian dan  semangat toleransi yang lebih kukuh.
(Sumber : http://www.bharian.com.my) 28/09/2010 

 
 
