Ikan Terubuk Goreng
 Ikan Terubuk 
Rahsia terubuk
2010/08/22
Permintaan tinggi punca terubuk Sarawak diganti spesies import India, Myanmar
SEBUT  saja terubuk Sarawak, pasti ramai yang akan terliur dengan keenakan  isinya yang lemak dan manis, apa lagi kalau dapat menikmati ikan terubuk  bertelur. 
Malah tidak sah rasanya kunjungan pelawat ke Bumi Kenyalang,  kalau tidak membawa pulang 'ole-ole' ikan terubuk Sarawak, terutama  terubuk masin dan telur terubuk masin, yang ada dengan banyaknya di  Pasar Tamu Satok di Kuching. Terubuk ini juga laris ketika Ramadan yang  menjadi juadah wajib penggemarnya ketika berbuka mahu pun sahur.
Pendek kata, terubuk Sarawak memang amat popular terutama di kalangan  pelawat dari Semenanjung, Sabah dan Brunei Darussalam, yang  menjadikannya buah tangan wajib apabila berkunjung ke bumi kenyalang  ini.         Populariti terubuk ini berkait rapat dengan hakikat ikan itu sudah  lama pupus dari sungai di Semenanjung tetapi di Sarawak spesies ikan  bertulang banyak itu masih boleh diperoleh terutama pada musim terubuk  bertelur antara Jun hingga Oktober. 
Bekalan terubuk tempatan boleh didapati di Sungai Lupar (Lingga  dan Sebuyau dalam Bahagian Sri Aman), selain di Sungai Saribas (Pusa,  Beladin dan Maludam di Bahagian Betong) dan Sungai Lassa (Teba’ang dan  Daro di Bahagian Mukah). 
Bagaimanapun, berbeza dengan mudahnya terubuk itu dibeli,  hakikatnya, terubuk tempatan kian terhad dan sukar diperoleh yang  disebabkan usaha kerajaan mengawal tangkapan ikan yang kian pupus dengan  mengehadkan kegiatan menangkap ikan terubuk. Semua ini demi membolehkan  spesies ini membiak.  
Biarpun bilangannya terhad, ramai peraih yang  masuk ke kawasan  berkenaan setiap kali musim terubuk untuk membeli bekalan yang terhad  itu secara borong dan mengeksportnya ke luar negara terutama Singapura.
Tidak hairanlah harga ikan terubuk tempatan bertelur kini boleh  mencecah antara RM36 hingga RM45 sekilogram berbanding sekitar RM28  sekilogram satu ketika dulu. Terubuk masin tempatan atau lebih dikenali  sebagai ‘terubuk masin local’ di kalangan pembeli pula dijual pada harga  RM18 seekor berbanding RM8 seekor untuk saiz sama bagi ikan terubuk  import. 
Ramai yang mungkin tidak sedar kebanyakan ikan terubuk masin yang  dijual di kawasan Pasar Satok di Kuching itu diimport dari India dan  Myanmar dengan jumlah pengusaha yang menjual ikan terubuk kini berjumlah  14 orang, dibantu lebih 100 pekerja.  
Pengasas penjualan ikan terubuk masin di Sarawak, Ibrahim Mohd  Sahari, 49, dari Jalan Muhibbah, Kuching, berkata mereka terpaksa  membeli ikan terubuk yang diimport dari India dan Myanmar daripada  pembekal. 
“Saya orang pertama menjual ikan terubuk di Kuching pada 1989.  Dulu harga sekotak ikan terubuk masin seberat 20 kilogram dijual dengan  harga RM75 saja, kini sudah naik sehingga antara RM150 hingga RM250  sekotak mengikut saiz ikan. 
“Dengan dibantu 13 pekerja, saya menjual sehingga satu tan metrik  atau 50 kotak terubuk sehari, dengan berat setiap kotak 20 kilogram,”  katanya sambil menambah ikan kecil yang dipanggil ‘Semperit’  boleh  dijual dengan harga empat ekor RM10, tetapi ikan besar yang dipanggil  'terubuk' dijual pada harga antara RM10 ke RM18 seekor,” katanya. 
Cara memproses terubuk masin cukup mudah dengan mengeluarkan ikan  terubuk beku dari kotak dan terus merendam dalam air kira-kira dua  minit, sebelum disiang dan dibersihkan. Bagi yang bertelur, telur akan  dikeluarkan untuk dijual secara berasingan. Selepas itu, ikan terubuk  yang sudah dibersihkan akan diletakkan garam yang diimport dari  Thailand, sebelum terus dipamer untuk dijual. 
Bagi telur terubuk import ia dijual dengan harga antara RM100  hingga RM200 sekilogram, berbanding telur terubuk tempatan dari Sarawak  yang dijual dengan harga RM300 sekilogram. 
“Kita hanya menggunakan garam yang diimport dari Thailand kerana  ia paling halus dan lembut. Harga garam Thailand ini dulu hanya RM8.50  seguni (mengandungi 25 kilogram garam) berbanding sekarang sudah naik  kepada RM16 seguni. Selain kos membeli terubuk sudah naik begitu tinggi,  kos lain termasuk garam juga sudah naik, tetapi harga terubuk masin  masih kekal sama, sekali gus menyebabkan kami tidak untung banyak,”  katanya. 
Ibrahim yang juga pemilik Perusahaan U.I.T.M (Usahawan Ikan  Terubuk Masin) turut menjadi pembekal tetap terubuk masin kepada Tabung  Haji dan agensi yang menawarkan pakej umrah, untuk dibawa oleh jemaah  sebagai makanan di Makkah, selain pernah menghantar terubuk masin  sehingga ke London. 
Beliau turut mengakui, sepanjang Ramadan seperti sekarang, terubuk  bakar atau terubuk panggang yang cukup popular di kebanyakan bazar  Ramadan di Sarawak juga sebenarnya terdiri daripada terubuk yang dibawa  dari Myanmar dan India, bukannya terubuk Sarawak. 
Ini kerana pembeli biasanya hanya sanggup membayar antara RM10 ke  RM20 untuk seekor terubuk panggang di bazar Ramadan, sedang kos untuk  mendapatkan terubuk tempatan terlalu mahal dan lebih daripada itu. 
“Rahsianya ialah cara kita memproses ikan itu supaya rasanya  sesedap terubuk tempatan. Jika kena ramuan dan caranya seperti untuk  panggang kita letakkan garam, kunyit, serai dan minyak serta cara  membakarnya juga perlu betul, rasanya pasti seenak terubuk tempatan,”  katanya. 
Mohd Rus Hassan, 77, yang mengusahakan perniagaan ikan terubuk  masin di Pasar Satok sejak lebih 10 tahun lalu pula berkata,  terubuk  tempatan banyak perbezaannya dengan terubuk import, terutama muncungnya  yang panjang dan besar, manakala badannya kecil dan pendek.   
“Kalau nak bezakan ikan terubuk masin Sarawak dengan import,  tengok sisik dulu. Sisik terubuk Sarawak hidup dan boleh dibuka walaupun  sudah diproses menjadi ikan masin, berbanding sisik terubuk import yang  mati dan keras. Mulut ikan terubuk Sarawak juga lebih besar berbanding  terubuk import dan apa yang lebih penting rasa terubuk Sarawak jauh  lebih lemak dan manis berbanding import,” katanya yang menjual purata  3,000 ekor terubuk sehari. 
Seorang pekerja di gerai menjual terubuk masin, Putradi Putit,  36, berkata mereka memproses sekitar 16 kotak terubuk setiap hari biasa  dan pada Sabtu dan Ahad mereka perlu memproses sehingga 22 kotak ikan  terubuk sehari. Setiap kotak mengandungi antara 60 ekor hingga 75 ekor  ikan mengikut saiz. 
“Kami kena gunakan pisau yang cukup tajam supaya kerja menyiang  ikan lebih cepat dapat dilakukan. Kalau pisau cukup tajam kami boleh  menyiang sehingga lebih 100 ekor ikan dalam sejam. 
“Kebanyakan pelanggan yang membeli ikan terubuk masin pula  terdiri daripada penduduk dari Semenanjung yang mahu membawa pulang ikan  terubuk sebagai 'ole-ole’. Kami perlu membungkusnya dengan kemas di  dalam kotak supaya dapat dibawa menaiki pesawat,” katanya. 
Saiz kepala, bentuk badan bezakan spesies terubuk 
PERBEZAAN antara terubuk Sarawak dengan terubuk import ialah terubuk  tempatan berkepala besar tetapi pendek manakala ikan import berkepala  bulat dan panjang. 
Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, Johari Tim, berkata  keistimewaan terubuk Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar. 
“Perbezaan juga dapat dilihat daripada segi kesegaran. Terubuk  tempatan lebih sedap kerana segar sedangkan terubuk import terpaksa  dibekukan terlebih dulu,” katanya. 
Pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak  pula, Albert Chuan, berkata terubuk import mempunyai bintik hitam di  badan tetapi tiada pada terubuk sungai. Katanya, perbezaan terubuk  tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga.  
“Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali  imbas memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import.  Orang biasa memang selalu keliru,” katanya. 
Ada dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau  Tenualosa macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil,  bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk. 
Terubuk sungai Tenualosa toli mempunyai muncung atau mulut lebih  besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan  penduduk negara ini. Terubuk adalah ikan pelagic dalam keluarga  Clupeidae. Penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti  apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur. 
Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak,  Tenualosa Toli  mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada  bulan November. Bagaimanapun, ikan terubuk banyak memasuki sungai dari  bulan April hingga bulan Oktober. 
Musim ikan terubuk bermula agak lambat tetapi pendek iaitu Jun  hingga Oktober bagi kawasan Batang Lupar, manakala bagi Batang Lassa  pula, musimnya berpanjangan sehingga enam bulan iaitu April hingga  November. Faktor ini disebabkan perpindahan terubuk berbeza antara  Batang Lupar dan Batang Lassa. 
Terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga  34 sentimeter manakala betina ialah dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan  masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram. 
Bagaimanapun, Sarawak berdepan masalah kepupusan ikan terubuk yang  meruncing berikutan penangkapan ikan tidak terkawal oleh nelayan  tempatan, menyebabkannya tidak sempat sampai tempoh matang untuk menjadi  terubuk betina dan bertelur untuk meneruskan pembiakan. 
Justeru, usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk  membuat kajian ke atas sperma terubuk Sarawak yang kini semakin diancam  kepupusan adalah satu berita baik. 
Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan  penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai  Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada  ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak. 
Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini  dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang  tidak terkawal dan kaedah tradisional. 
(Sumber : www.utusan.com.my)