Pages

Wednesday, June 23, 2010

SARAWAK BUMI KENYALANG

Mulai hari ini 23 Jun hingga 27 Jun 2010, saya berada di Kuching, Sarawak bersama-sama dengan para pelajar Pra Universiti 6 Atas untuk program Kajian Lapangan Geografi STPM dan Lawatan sambil belajar. Tahun ini merupakan tahun kedua kami menjalankan program seumpama ini di bumi kenyalang yang bertuah ini. Mengapa di bumi bertuah ini? Akan saya ceritakan kemudian.

Hari pertama program bermula seawal jam 7.00 pagi di LCCT Sepang sebelum sampai ke Kuching pada jam 10.30 pagi dan meneruskan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Nadin Homestay, tempat penginapan kami yang terletak di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya. Aktiviti lawatan bermula pada pukul 2.30 petang dengan mengadakan lawatan rasmi ke bangunan DUN Sarawak yang baharu, terletak di tepi sungai Sarawak berdekatan dengan bandaraya Kuching. Tersergam indah dan gagah melewati pemandangan sekitar bandaraya Kuching.

Kami menghabiskan masa kira-kira dua jam di bangunan tersebut dengan mendengar taklimat, lawatan ke aras 9 bangunan sambil menikmati keindahan panorama bandaraya Kuching selain melawat galeri yang terdapat di bangunan tersebut. Kira-kira jam 5.00 petang, kami menikmati hidangan istimewa Sarawak iaitu nasi ayam penyet sebelum bertolak balik ke tempat penginapan. Walaupun agak keletihan, kepuasan tergambar pada wajah peserta lawatan kerana telah 'berjaya' menjayakan aktiviti yang disusun untuk hari yang pertama.

Pada sebelah malam, kami berehat di homestay dan saya mengambil kesempatan untuk keluar menikmati keindahan bandaraya Kuching pada waktu malam bersama dengan En Khairudin dengan ditemani oleh seorang rakan yang sudah lama tidak bersua muka. Para pelajar lelaki yang tinggal serumah pula sibuk  di dapur memasak hidangan ala kadar yang mereka sukai. Kira-kira jam 10.30 malam, kami pulang ke homestay untuk bersedia bagi aktiviti pada hari yang kedua (24 Jun) yang dijangka akan bermula seawal 7.30 pagi. Agenda hari yang kedua ialah mengadakan kajian lapangan di Kampung Bako dan Taman Negara Bako. Ketika saya mencatatkan 'cerita' ini, saya ditemani oleh petikan gitar dan nyanyian oleh beberapa orang pelajar lelaki yang masih tidak dapat melelapkan mata walaupun keletihan kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru. En. Khairudin pula sedang menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia antara USA dan Algeria. Ketika ini, kedudukan masih lagi terikat 0-0.  

Insyaalah saya akan terus 'bercerita' tentang lawatan ini kerana catatan-catatan ini yang akan menjadi kenang-kenangan serta ingatan yang tidak akan saya lupakan terutama ketika bersama-sama dengan para pelajar di Kuching. Pada kesempatan inilah saya banyak berpeluang untuk mengenali para pelajar ini dengan lebih dekat dan banyak perbualan yang 'off record' tetapi amat menghiburkan hati saya yang ria dan lara. Jumpa lagi pada catatan seterusnya....

p/s : tak sempat lg nak upload gambar, terutama gambar-gambar semasa di DUN Sarawak.

No comments:

Post a Comment