Pages

Tuesday, June 29, 2010

LAWATAN RASMI KE DUN SARAWAK

DI HADAPAN PINTU MASUK UTAMA BANGUNAN DUN SARAWAK


PEMANDANGAN SUNGAI SARAWAK DARI ARAS 9 BANGUNAN DUN 


GUNUNG SANTUBONG DARI KEJAUHAN

Wednesday, June 23, 2010

SARAWAK BUMI KENYALANG

Mulai hari ini 23 Jun hingga 27 Jun 2010, saya berada di Kuching, Sarawak bersama-sama dengan para pelajar Pra Universiti 6 Atas untuk program Kajian Lapangan Geografi STPM dan Lawatan sambil belajar. Tahun ini merupakan tahun kedua kami menjalankan program seumpama ini di bumi kenyalang yang bertuah ini. Mengapa di bumi bertuah ini? Akan saya ceritakan kemudian.

Hari pertama program bermula seawal jam 7.00 pagi di LCCT Sepang sebelum sampai ke Kuching pada jam 10.30 pagi dan meneruskan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Nadin Homestay, tempat penginapan kami yang terletak di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya. Aktiviti lawatan bermula pada pukul 2.30 petang dengan mengadakan lawatan rasmi ke bangunan DUN Sarawak yang baharu, terletak di tepi sungai Sarawak berdekatan dengan bandaraya Kuching. Tersergam indah dan gagah melewati pemandangan sekitar bandaraya Kuching.

Kami menghabiskan masa kira-kira dua jam di bangunan tersebut dengan mendengar taklimat, lawatan ke aras 9 bangunan sambil menikmati keindahan panorama bandaraya Kuching selain melawat galeri yang terdapat di bangunan tersebut. Kira-kira jam 5.00 petang, kami menikmati hidangan istimewa Sarawak iaitu nasi ayam penyet sebelum bertolak balik ke tempat penginapan. Walaupun agak keletihan, kepuasan tergambar pada wajah peserta lawatan kerana telah 'berjaya' menjayakan aktiviti yang disusun untuk hari yang pertama.

Pada sebelah malam, kami berehat di homestay dan saya mengambil kesempatan untuk keluar menikmati keindahan bandaraya Kuching pada waktu malam bersama dengan En Khairudin dengan ditemani oleh seorang rakan yang sudah lama tidak bersua muka. Para pelajar lelaki yang tinggal serumah pula sibuk  di dapur memasak hidangan ala kadar yang mereka sukai. Kira-kira jam 10.30 malam, kami pulang ke homestay untuk bersedia bagi aktiviti pada hari yang kedua (24 Jun) yang dijangka akan bermula seawal 7.30 pagi. Agenda hari yang kedua ialah mengadakan kajian lapangan di Kampung Bako dan Taman Negara Bako. Ketika saya mencatatkan 'cerita' ini, saya ditemani oleh petikan gitar dan nyanyian oleh beberapa orang pelajar lelaki yang masih tidak dapat melelapkan mata walaupun keletihan kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru. En. Khairudin pula sedang menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia antara USA dan Algeria. Ketika ini, kedudukan masih lagi terikat 0-0.  

Insyaalah saya akan terus 'bercerita' tentang lawatan ini kerana catatan-catatan ini yang akan menjadi kenang-kenangan serta ingatan yang tidak akan saya lupakan terutama ketika bersama-sama dengan para pelajar di Kuching. Pada kesempatan inilah saya banyak berpeluang untuk mengenali para pelajar ini dengan lebih dekat dan banyak perbualan yang 'off record' tetapi amat menghiburkan hati saya yang ria dan lara. Jumpa lagi pada catatan seterusnya....

p/s : tak sempat lg nak upload gambar, terutama gambar-gambar semasa di DUN Sarawak.

Monday, June 21, 2010

POHON SEMALU


Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.


Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

Saturday, June 19, 2010

SIRAH RASULULLAH

 
MUSYRIKUN KAGUM DENGAN AL-QURAN
Pada suatu hari, musuh menderu datang kepada Rasulullah SAW. untuk mengejek baginda .Seperti biasa mereka berkata, "Hai Muhammad, bacakan Al-Qur'an kepadaku." Kemudian Rasulullah SAW. membaca firman Allah Ta‘ala,

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji kemungkaran dan permusuhan." (An-Nahl: 90).

Rasulullah saw. belum selesai membacakan ayat di atas, tiba-tiba musuh kelam kabut meminta pengulangan pembacaan ayat tersebut kerana kagum kepada keagungan bahasanya, kesucian maknanya, kerana ingin mengambil keterangannya, dan kerana tertarik pada kekuatan pengaruhnya. Tidak lama berselang, musuh berebut-rebut mengangkat suaranya memberi pengakuan, bersaksi atas kesucian Firman Allah Ta‘ala, dan keagungannya. Ia berkata dengan satu perkataan, "Demi Allah, sungguh Al-Qur'an ini betul-betul manis, di dalamnya terdapat keindahan, bawahnya berdaun rimbun, dan atasnya berbuah. Al-Qur'an ini bukannya ucapan manusia." (HR Ibnu Jarir Ath-Thabari dan Al-Baihaqi dengan sanad yang baik. Musuh yang dimaksud ialah Al-Walid bin Al-Mughirah). 
 
(Dipetik daripada : Facebook Ust Zahazan Mohamed)

Friday, June 18, 2010

KISAH BISKUT


Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak di sebelahnya.

Setiap keping biskut yang dia ambil lelaki itu turut mengambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu.
"Alangkah tak malunya lelaki ni..... dah la tak mintak dari aku.... makan sama banyak dengan aku pulak tu...Pencuri!! " rungut wanita itu dalam hati.

Dalam pada itu, lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut terakhir yang terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu. Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu. Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu.

Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hatinya.
"Berani sungguh lelaki ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar." kata hatinya dengan marah.
Kedua-dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.

Apabila dia sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum terbuka.
"Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi..." getusnya.
Ya.. .biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu. Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya.

Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.

Moral:
Jangan buruk sangka dengan orang. Keindahan yang hakiki datangnya dari hati yang ikhlas bukan dari pandangan seseorang.

(Sumber : http://cerita-tauladan.blogspot.com/)

Thursday, June 10, 2010

PIALA DUNIA 2010




Kurang 24 jam dari sekarang, sepak mula bakal melanda dunia. Deman Piala Dunia kembali. Apabila berbicara mengenai Piala Dunia dan Afrika Selatan terutamanya, pasti kita tidak akan melupakan Nelson Mandela. Beliau akan muncul pada perlawanan pembukaan yang membabitkan pasukan tuan rumah menentang Mexico pada 10 Jun 2010. Maskot Piala Dunia kali ini ialah Zakumi.

Wednesday, June 9, 2010

INTIFADHAH


Bacaan Qunut Nazilah

“Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.
Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.
Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka Wahai tuhan yang gagah perkasa Wahai tuhan yang penuh raksasa Wahai tuhan yang bersifat murka.
Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.”

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur
Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Wallahu’alam.

PARLIMEN

Parlimen pindah ke Putrajaya, kos RM800 juta

June 09, 2010

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya manakala bangunan sedia ada akan dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.

“Benda ini akan dibawa balik ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan, kita akan timbang dari semua aspek dan fikir cara mana yang terbaik tetapi belum ada keputusan muktamad mengenainya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan bangunan baru Parlimen dijangka menelan kos RM800 juta manakala RM150 juta pula diperlukan untuk menaik taraf bangunan Parlimen sedia ada.

“Sebenarnya Parlimen dah jadi bangunan warisan, kita tak boleh runtuhkan dan dalam masa yang sama kita kena pastikan bangunan ini juga diguna pakai, jadi kita akan fikir cara mana yang terbaik,” katanya.

Pada persidangan Dewan Rakyat sebelum itu dan dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka), Nazri berkata Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan agar bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya manakala bangunan yang lama akan dibaik pulih dan dikekalkan

sebagai bangunan warisan.

“Bagaimanapun butiran lanjut mengenainya masih dalam peringkat kajian oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga cadangan untuk membina sebuah Kompleks Parlimen yang baru dalam kawasan sedia ada bagi memenuhi keperluan Parlimen Malaysia di masa akan datang dengan mengambil kira aspek keselesaan, keperluan, kemudahan dan pertambahan bilangan Ahli Parlimen.

“Kerja membaik pulih, menaik taraf dan mengubahsuai bangunan Parlimen sedia ada pula adalah bagi membaik pulih struktur bangunan dan mengganti sistem mekanikal yang telah uzur. Cadangan ini telah dibawa ke peringkat mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan,” katanya. – Bernama

(Sumber : Dipetik daripada www.themalaysianinsider.com)