Pages

Friday, September 18, 2009


28 RAMADHAN 1430H

Aidilfitri al-mubarak semakin menjelma. Kepada rakan-rakan blogger yang pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya. Semoga gembira dan ceria berjumpa dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Jauh perjalanan luas pemandangan. Sekurang-kurangnya jauh memandu dapat merasai suasana lebaran yang semakin hampir. Saat seperti inilah yang sering dinantikan, tidak dapat digambarkan perasaan yang tersirat di hati, betapa bertuahnya dapat bersama-sama berhari raya bersama keluarga. Gunakanlah saat-saat indah ini untuk mengeratkan kembali ikatan silaturrahim yang agak lama diabaikan, lantaran kesibukan urusan dan kerjaya yang sering menjadi keutamaan. Inilah ketikanya kita berpeluang untuk bertanya khabar, juga mengingkap kisah dan kenangan silam yang telah dilalui bersama kerana memori yang indah itu menjadi pelengkap serta menceriakan kehidupan.

Ramadhan kali ini semakin ditinggalkan, kedatangannya dinanti, tetapi pemergiannya ditangisi. Semoga tarbiyah ramadhan ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri. Semoga bertemu lagi pada ramadhan yang akan datang...insyaallah. Kepada keluarga tersayang, rakan-rakan seperjuangan, juga rakan-rakan di UKM Bangi, dan sahabat handai yang disanjungi serta kepada semua yang mengenali, saya mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, zahir dan batin atas segala kesalahan, ketelanjuran kata dan tingkahlaku.

SALAM AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

(Jumpa lagi lepas raya....salam ingatan di angin lalu)

No comments:

Post a Comment