
FACEBOOK : ANDA PENENTU HALAL HARAMNYA.
Penggunanya dikatakan bukan sahaja sahaja merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa malah sehingga golongan berumur lebih dari 50 tahun.
Menurut laporan statistik terkini yang dikeluarkan syarikat Facebook, mereka kini mempunyai 350 juta pengguna aktif diseluruh dunia.
Dari jumlah itu, seramai 1.1 peratus atau 3.85 juta penggunanya adalah rakyat negara Malaysia dan sebilangan darinya adalah pengguna Islam.
Manakala lebih daripada 65 juta juta pengguna aktif Facebook juga mengakses melalui peranti mobile mereka.
Facebook produk Yahudi?
Hukum penggunaan  Facebook ini pernah menjadi pertikaian di kalangan pengguna Islam  apabila terdapat maklumat yang mendedahkan pengasasnya, Mark Zuckerberg  adalah seorang Yahudi sekaligus meletakkan bahawa ianya adalah produk  bangsa itu.
Malah lebih berat lagi apabila maklumat yang tidak  dipastikan kesahihannya menyebut Mark Zuckerberg menggunakan perniagaan  Facebooknya membiayai Israel menyerang umat Islam di Gaza, Palestin  tersebar luas di kalangan pengguna Islam.
Polemik itu juga telah  menyebabkan ada kumpulan tertentu melancarkan kempen boikot dengan  menyeru orang Islam tidak lagi menggunakan jaringan Facebook kerana  didakwa boleh membawa kepada haram akibat menguntungkan Yahudi.
Namun  menjadi persoalan adakah betul jika pengharaman dibuat atas asas bahawa  ianya hanya produk Yahudi?
Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam  hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan  cagaran dengan seorang yahudi, iaitu:
أَنَّ النبي صلى الله عليه  وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من  حَدِيدٍ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari  seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju  besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Ianya  menjelaskan bagaimana Islam membenarkan umatnya membeli, menjual,  menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia  dalam ruang lingkup yang halal.
Mengharamkan pembelian atau  penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik  Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA  YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN  APA YANG HARAM.
Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono  begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.
Bila Facebook menjadi Haram
Hukum mengguna  dan membuka akaun Facebook pada asasnya adalah 'Harus' atau dibenarkan  selagi tidak melanggar batas syariat Islam.
Malah jika ia  digunakan untuk kemaslahatan (kebaikan) Islam, maka ia menjadi sangat  digalakkan.
Namun ianya boleh menjadi haram jika kemudahan  jaringan sosial ini disalahguna bergantung kepada matlamat seseorang.
Facebook  sepatutnya dijadikan sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, medan  perbincangan, ruang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara  berhemah.
Malangnya ada diantara kita membuka akaun Facebook  hanya untuk suka-suka, betul-betul untuk 'bersosial' tanpa ada sebarang  tujuan bermanafaat.
Apatah lagi, Facebook kini juga dilengkapi  aplikasi 'third party' seperti kuiz dan permainan online.
Keasyikannya  kadang-kadang mampu menjadikan pengguna itu ketagih dan hanyut dalam  dunia sendiri sehingga melupakan dunia luar.
Maka tidak  hairanlah jika kajian Facebook sendiri menyebut rata-rata penggunanya  menghabiskan lebih dari 55 minit sehari mengadap laman ini.
Islam  melihat mereka yang menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang  melalaikan tanpa sebarang tujuan, boleh menjadi haram sama seperti  pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.
Malah lebih teruk  lagi jika penggunaannya membuahkan fitnah menyebabkan institusi  keluarga, masyarakat dan negara menjadi porak peranda.
Dalam satu  kes yang berlaku 24 Januari 2009, seorang pemuda, Edward Richardson  yang berasal dari London, dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh  isterinya Sarah, setelah mengetahui isterinya itu menukar status  'maried' kepada 'single' pada profile Facebooknya.
Beberapa kes  lain juga berlaku termasuk dalam negara ini sehingga terdapat kes  seseorang individu itu disiasat oleh pihak berkuasa kerana  komen-komennya dalam blog yang berbaur hasutan dan ancaman yang didakwa  boleh mewujudkan ketegangan.
Maka persoalan haram dan halal  berhubung perkara ini wajar dipulangkan kepada pengguna masing-masing.
Hanya  anda tahu bagaimana anda menggunkan kemudahan jaringan sosial ini sama  ada memberikan banyak manfaat atau mudarat.
Tepuk dada tanya  Iman..
Sumber:
1- http://www.facebook.com/facebook?ref=pf#/press/releases.php?p=133917
2- http://www.alexa.com/siteinfo/facebook.com
4- http://saifulislam.com/?p=6714 
