Pages

Thursday, December 17, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431 H

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431H

PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.
Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi (1 Januari) baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah.Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Sejarah Ringkas Hijrah

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
Mengenai hijrah ke Yathrib, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah.

Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib).

Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar.

Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah.

Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Selamat menyambut Maal Hijrah..

Saturday, December 12, 2009

PROGRAM KECEMERLANGAN PELAJAR PRA UNIVERSITI 2009

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

12 Disember 2009, Sabtu, 3.00 ptg, Hotel Impian, Morib.

Program dimulakan dengan dengan SLOT 1 - STPM dan MASA DEPAN yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Nazip b Suratman (UiTM) bersama-sama dengan dua orang penceramah jemputan yang lain iaitu En Seherman Sahlan (UiTM) dan En Fauzi Sukimi (UKM). Slot ini memberikan tumpuan kepada perkongsian pengalaman penceramah bermula dari bangku persekolahan sehinggalah menjejakkan kaki ke menara gading. Ia bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar pra universiti agar mereka mempunyai halatuju dan dapat mengetahui dengan lebih jelas jejak-jejak mereka selepas menduduki peperiksaan STPM. Perkongsian ini membolehkan para pelajar menyedari tentang kedudukan mereka, peluang-peluang pengajian dan juga memberikan kesedaran bahawa melalui STPM, mereka juga berpeluang untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Mudah-mudahan slot ini akan dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada para pelajar. Slot 1 ini dijangka akan berakhir kira-kira jam 5.oo petang. Program pada hari ini akan diteruskan pada sebelah malam iaitu program kerohanian iaitu Solat Maghrib berjemaah, bacaan surah Yassin dan Solat Hajat yang akan dipimpin oleh En Kowangid bin Taupek.

Sekian buat masa ini. Jumpa lagi.....

SLOT 2 - PENGUCAPAN AWAM DAN KOMUNIKASI BERKESAN
8.30 malam

Program diteruskan dengan Slot 2 yang disampaikan oleh Cr. Hamid b Asanar, Kaunselor bertauliah yang dijemput khas bagi memberikan pengisian kepada para pelajar. Pada masa yang sama, staf akademik mengadakan perjumpaan untuk membincangkan serta menyelaraskan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan perjalanan tingkatan 6 mulai tahun 2010. Slot 2 bertujuan untuk memberikan tips-tips dan juga pendedahan tentang pengucapan awam yang berkesan dan memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menguasai pengucapan awam yang baik. Diharapkan para pelajar memperoleh maklumat dan dapat meningkatkan kemahiran pengucapan awam, terutamanya dalam pembentangan dan perbincangan semasa pengajaran dan pembelajaran.