Pages

Wednesday, March 9, 2011

Agong pandang berat bangkit isu sensitif

 
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.

Menurut baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

"Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan," titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini.

Tuanku Mizan bertitah walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun kesederhaan diamalkan dengan subur di negara ini yang membolehkan agama-agama lain diamalkan dengan aman damai serta hari-hari perayaan agama lain turut diiktiraf dengan dijadikan hari cuti umum.

Bagi menjamin keamanan di negara ini, baginda berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program dan aktiviti masing-masing, hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah walaupun ekonomi negara telah mengalami pemulihan yang pantas, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia perlu peka terhadap faktor luaran seperti ekonomi global tidak menentu yang menjadi cabaran kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

Seri Paduka Baginda berharap Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat agar mereka berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Malaysia yang berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010 namun berharap Malaysia tidak cepat berpuas hati dengan kedudukan itu.

Mengenai kualiti pendidikan, Seri Paduka Baginda bertitah transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan.

Tuanku Mizan mahu supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi di samping mengekalkan sikap berdedikasi dan berintegriti.

Baginda berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia.

Tuanku Mizan melahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi pasukan itu dalam memerangi kegiatan jenayah, dan menyifatkan penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada 2010, sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan dan melepasi sasaran ditetapkan.

Baginda turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama.

"Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan negara," titah baginda.

Tuanku Mizan menyeru semua pihak agar memberi sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam Ops Piramid untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir ekoran pergolakan di negara itu baru-baru ini.

Seri Paduka turut menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara dengan menjadi warga yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah," titah baginda.

Kepada ahli Parlimen, Tuanku Mizan mengingatkan mereka sentiasa mempamerkan tingkah laku terpuji dan berbahas dengan tertib dengan menyumbangkan pemikiran yang bernas serta sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Ingatlah rakyat sentiasa menuntut perkhidmatan yang terbaik dari setiap pemimpin yang mereka pilih," titah baginda.

Tuanku Mizah juga mengucapkan tahniah kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa termasuk di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki, di samping berharap atlet Malaysia akan terus beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik 2012 di London kelak.

- Bernama

Sunday, February 13, 2011

PRK - TENANG, MERLIMAU DAN KERDAU

ADUN KERDAU MENINGGAL DUNIA.
(www.malaysiakini.com)

ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang tadi.
NONEAllahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.
"Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.
azlanSementara itu, ahli parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin yang terjatuh di dalam bilik air di rumahnya itu telah dibawa ke hospital dan dimasukkan di unit rawatan rapi, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan.

"Menurut pembantunya, Datuk Zaharuddin sebelum itu mengadu sakit perut dan pembantunya membawanya ke bilik air, tiba-tiba beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Ismail berkata allahyarham ketika itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di Temerloh.
Dikebumikan esok

Beliau berkata jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau selepas Zohor esok.
Perkembangan itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.
 
12 wakil rakyat meninggal dunia

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.
azlanSejak pilihan raya umum 2008, 12 wakil rakyat telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit termasuk serangan jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru.

Daripada baki itu, tiga pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi masing-masing - iaitu di paerlimen Permatang Pauh dan kerusi negeri di Penanti dan Bukit Selambau.

Pilihan raya kecil pula terpaksa diadakan di parlimen Batu Sapi apabila penyandangnya, Datuk Edmund Chong terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Jumlah pilihan raya kecil sepanjang tempoh tiga tahun lalu ini dianggap antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya negara.

Friday, January 28, 2011

KENEGARAAN - SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA

pix_gal0


Foong ketuai Suruhanjaya Siasatan kes Beng Hock
Oleh Magendran Rajagopal

2011/01/27 (http://www.bharian.com.my)

PM umum pelantikan selepas diperkenan Seri Paduka

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong, dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat ahli lain ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shahrom.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim pula dilantik Setiausaha, manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh; Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa turut dilantik selaku Pegawai Pengendali suruhanjaya berkenaan. 

Pelantikan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sudah berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950," katanya dalam kenyataan.

Kerajaan menetapkan terma rujukan suruhanjaya terbabit untuk menyiasat sama ada wujud apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan laporan Shah Alam nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan mengesyorkan tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya itu juga bertanggungjawab menyiasat kematian Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Najib berkata, suruhanjaya dikehendaki menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporan harus diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.










INTERLOK.....KEKAL dan PINDA


 Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Pilihanraya kecil DUN Tenang semakin sampai kemuncaknya. Begitu juga saya kira isu yang berkaitan dengan Interlok. Saya petik salah satu pandangan daripada pelbagai pendapat yang telah diutarakan sebagai reaksi daripada keputusan kerajaan meneruskan penggunaan novel Interlok di sekolah dengan membuat sedikit pindaan terhadapnya. Walau apa pun keputusan yang dicapai, diharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya agar hasrat kerajaan untuk memperkukuh perpaduan kaum dapat direalisasikan demi membina sebuah negara bangsa yang aman dan makmur. Tulisan ini adalah hasil pandangan A. Kadir Jasin melalui blog beliau http://kadirjasin.blogspot.com bertarikh 28 Januari 2011 (Jumaat). Insyaallah saya akan mengemukakan beberapa lagi reaksi dari pelbagai pihak berhubung isu ini. Selamat membaca.

Pinda Interlok Saat Gelap Kebebasan Berkarya

A Kadir Jasin

KEPUTUSAN meminda perenggan-perenggan dalam novel “Interlok” yang KONONNYA menyentuh dan menyinggung sensitiviti kaum tertentu dalam 1Malaysia adalah saat gelap bagi kebebasan berkarya dan kreativiti kesusasteraan.

Selepas ini, tidak ada lagi karya sastera dan kreativiti kesusasteraan serta persuratan yang selamat daripada penapisan (censorship) oleh pihak berkuasa.

Kesucian (sanctity) hak cipta, keaslian (originality) karya dan fakta sejarah tidak lagi terjamin dan terselamat daripada gunting para penapis.

Bila karya asal dipinda atas apa jua alasan, maka ia bukan lagi karya asli. Ia sekadar bahan ciplak dan plagiarisme walaupun mendapat keizinan rasmi dan perlindungan undang-undang.

Undang-undang yang menjamin hak cipta dan ketinggian minda serta keterbukaan fikiran yang menjadi penentu penciptaan karya agung akan turut mati dipotong oleh gunting penapisan.

Toleransi semakin menipis dan pengisahan susur-galur anyaman kemajmukan 1Malaysia yang sangat unik terbantut dan hambar kerana atas alasan sensitiviti, atas landasan kekuasaan politik dan akibat kejahilan yang semakin menebal, tidak ada apa-apa lagi yang selamat daripada tapisan.

Secara peribadi, sebagai penulis, saya lebih rela karya saya dibakar dan dinyahkan daripada persada ilmu dan kecendekiawanan hambar daripada disunting dan dipinda kerana KONONNYA menyentuh dan menyinggung sensitiviti kaum tertentu.

Kalau karya Sasterawan Negara seperti Abdullah Hussain pun tidak selamat daripada interpretasi tohor dan gunting para penapis makan gaji, maka karya siapa lagi akan selamat?

Dan kalau kita benar-benar berada dalam 1Malaysia yang majmuk, mengapa hanya bangsa India yang mendapat keistimewaan memegang gunting tapisan dan pena merah untuk “meminda” Interlok?

Wallahualam.

(Sumber : http://www.kadirjasin.blogspot.com)-28 Januari 2011

Wednesday, January 26, 2011

PILIHANRAYA KECIL DUN TENANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dah masuk hari kelima kempen di Tenang. Kita dikejutkan kemungkinan besar dua lagi pilihanraya kecil bakal di adakan melibatkan DUN Merlimau (Melaka) dan DUN Pelabuhan Klang (Selangor). Apa pun yang berlaku kelak, tumpuan kini terarah kepada kehangatan kempen calon-calon yang bertanding di DUN Tenang. Sama ada isu tempatan mahupun isu nasional dilihat amat laku di Tenang, tambahan pula dengan kehadiran tokoh-tokoh BN dan PR lebih memeriahkan suasana. Isu salam yang dibangkitkan oleh Presiden MCA menambahkan lagi kehangatan suasana di Tenang, sehingga TPM mengarahkan isu tersebut tidak lagi diperkatakan. Sehingga 30 Januari 2011 iaitu hari pembuangan undi, calon-calon yang bertanding masih mempunyai kira-kira tiga hari lagi bagi memancing undi, meyakinkan penduduk akan misi dan visi yang akan mereka laksanakan seandainya terpilih kelak. Selamat bertanding dalam suasana demokrasi yang matang. Siapa pilihan hati, kita tunggu sama-sama.