Pages

Tuesday, October 19, 2010

MELAKA NEGERI MAJU 2010

OECD iktiraf Melaka negeri maju

Melaka kini boleh diiktiraf sebagai negeri maju 2010 selepas memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris, Perancis.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, OECD berpuas hati dengan prestasi Melaka apabila berjaya memenuhi kesemua 32 indikator yang telah ditetapkan bagi memenuhi hasrat Melaka untuk diiktiraf sebagai negeri maju tahun ini.
Menurutnya, hasil taklimat yang diberikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Zainal Husin, pihak OECD menyifatkan Melaka boleh diiktiraf sebagai negeri maju 2010.
"Pengarah OECD, Jonathan Hall berpuas hati dengan taklimat yang diberikan dan beliau menyifatkan Melaka telah memenuhi kesemua 32 indikator yang telah ditetapkan dan mencapai tahap 96 peratus.
"Tiada takrif sebenarnya untuk negeri maju kerana ia bergantung kepada penerimaan rakyat. Bagaimanapun, segala kriteria yang ditetapkan oleh OECD telah berjaya dipenuhi oleh Melaka dan OECD mengiktiraf pencapaian kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Paris hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai taklimat dan perbincangan dengan OECD mengenai 32 indikator yang menjadi kayu pengukur untuk Melaka diiktiraf sebagai negeri maju.
OECD merupakan pertubuhan ekonomi antarabangsa yang dianggotai 30 negara di seluruh dunia yang mempunyai pendapatan tinggi dan seterusnya melayakkan mereka digelar sebagai negara maju.
Delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri kini berada di Paris untuk rangka lawatan kerja rasmi ke Eropah sehingga 27 Mac ini.
Turut serta ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, OECD menyifatkan antara perkara penting berjaya dipenuhi oleh Melaka daripada 32 indikator tersebut ialah meningkatkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan, kemudahan bekalan air dan elektrik.
"Saya gembira dengan taklimat yang diberikan, lebih-lebih lagi apabila OECD berpuas hati dengan pencapaian yang telah kerajaan negeri lakukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan majlis pengiktirafan Melaka Maju 2010 yang dirancang diadakan pada 20 Oktober ini.

Tuesday, October 5, 2010

DASAR LUAR - ASIA-EUROPE MEETING (ASEM) 2010


BRUSSELS, October 4, 2010 -- Prime Minister Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (third row, third right) during the photographic session of the Asean-Europe Summit (ASEM) at the Belgian Royal Palace here on Monday.

The Prime Minister arrived here on Sunday to join the ASEM conference.

Source: fotoBERNAMA

Wednesday, September 29, 2010

DASAR LUAR - PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)


NAJIB ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65, di New York, malam tadi.


AMAL KESEDERHANAAN
Najib gesa dunia wujud kembali keamanan dengan agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat

DATUK Seri Najib Razak menggesa semua negara tanpa mengira agama kembali mewujudkan keamanan dengan mengamalkan agenda Gerakan Kesederhanaan Sejagat bagi mengelakkan penduduk dunia daripada terus tenggelam ke dalam kehancuran umpama hidup dalam neraka.

Dalam ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-65, malam tadi, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya pemimpin dunia kembali kepada agenda keamanan pragmatik dan menghapuskan ekstremis.

“Gerakan Kesederhanaan Sejagat akan menyelamatkan kita daripada tenggelam kepada kehancuran, terus berputus asa dan kehinaan. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan kepemimpinan yang membawa harapan dan mengembalikan maruah serta martabat untuk semua.

"Menerusi keazaman yang lebih kuat dan usaha kolektif, kita mampu mewujudkan dunia yang lebih aman, selamat dan kesamarataan," katanya.

Najib juga berkata, antara cabaran penting dihadapi komuniti antarabangsa yang perlu ditangani secara kolektif ialah memastikan keadilan, kesamarataan dan keamanan berkekalan untuk kini dan selama-lamanya.

Katanya, adalah penting bagi dunia mencapai keamanan yang berasaskan kemahuan sendiri dan bukan secara paksaan atau dipengaruhi oleh ketakutan.
Namun, Perdana Menteri menegaskan ia hanya boleh dicapai jika semua pihak bersedia berbincang menerusi dialog yang akan membantu mewujudkan kefahaman dan persefahaman, selain daripada penghargaan dan hormat menghormati ke arah membina masa depan lebih cemerlang untuk penduduk dunia.

Mengenai proses perdamaian di Asia Barat, beliau menjelaskan Malaysia mengalu-alukan peranan Amerika Syarikat (AS) menerusi pentadbiran Presiden Barack Obama dan sekutunya mencari penyelesaian komprehensif bukan saja untuk isu Palestin-Israel, malah wilayah berkenaan secara keseluruhan.

Bagi merealisasikannya, beberapa perkara perlu ditangani, antaranya Israel perlu memenuhi harapan komuniti antarabangsa yang mahu konflik itu diselesaikan dan AS menggesa Tel Aviv menghentikan pembinaan penempatan baru di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Syarat lain ialah memastikan kesatuan politik di kalangan rakyat Palestin bagi mewujudkan keamanan dan pembangunan semula Semenanjung Gaza dan kedua-dua pihak bertelagah menghentikan keganasan serta memastikan keselamatan orang awam dan menghormati pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Najib juga menyentuh mengenai Islamphobia dan mengutuk tindakan pihak tertentu yang sengaja mengapi-apikan pertelingkahan terhadap Islam serta menyemarakkan lagi usaha memecah belahkan dunia Islam yang luas dengan dunia barat.

"Isu sebenar bukan antara umat Islam dengan bukan Islam, sebaliknya antara kesederhanaan dan ekstremis. Justeru, saya mendesak kita mewujudkan Gerakan Kesederhanaan Sejagat daripada semua kepercayaan agama yang komited untuk bekerjasama memerangi ekstremis yang menjadikan dunia sebagai tebusan hanya kerana ketaksuban dan sikap bias mereka.

"Kita mesti kembali kepada perkara pokok dan moral tinggi yang dirampas daripada kita. Kita mesti memilih kesederhanaan berbanding ekstremis, memilih rundingan berbanding konfrantasi. Kita perlu memilih untuk bekerjasama dan bukan menentang sesama kita. Ia perlu menjadi keutamaan dan bukan hanya diletakkan di sisi kita," katanya.

Beliau juga tersentuh dengan tindakan kumpulan American Evanagelical Christians yang gigih menghalang ancaman membakar al-Quran di AS baru-baru ini serta kesediaan Presiden Obama dan Datuk Bandar New York menyuarakan hak membina Cordoba House yang akan menempatkan masjid dan pusat komuniti antara agama berhampiran bekas tapak World Trade Centre.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga memaklumkan pengalaman Malaysia menguruskan negara berbilang kaum dan agama yang berjaya menjadikan Malaysia dan rakyatnya hidup aman damai serta keseimbangan yang mendorong kepada wasatiyyah atau kesederhanaan mengikut keadilan dalam Islam.

Najib berkata, bagi mencapai perpaduan nasional pelbagai kaum dan agama, falsafah 1Malaysia diperkenalkan akan membawa negara ke arah keharmonian dan semangat toleransi yang lebih kukuh.
(Sumber : http://www.bharian.com.my) 28/09/2010

KENEGARAAN - KEKOSONGAN LUAR JANGKA

Speaker hantar surat kekosongan kerusi DUN Galas

 KOTA BHARU 28 Sept. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah pun menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaiman semalam.
Speakernya, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut hari ini melalui sepucuk surat yang difakskan ke ibu pejabat SPR kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, pihaknya turut menghantar surat susulan melalui pos laju selepas menerima salinan sijil kematian wakil rakyat berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Kita kemudiannya terus menghantar surat kepada SPR melalui faksimili bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas, disusuli dengan surat yang dihantar menggunakan pos laju,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, kini terpulang kepada SPR untuk menentukan bila tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan.

Pilihan raya kecil Galas Oktober?

PUTRAJAYA 28 Sept. – Pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober serta Perhimpunan Agung UMNO dari 19 hingga 23 Oktober ini akan diambil kira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, seperti mana penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu, SPR ketika itu mempertimbangkan kesibukan Pas mengendalikan Muktamar Tahunan parti berkenaan beberapa hari sebelum ia berlangsung.
“Ini untuk memastikan wujud kesaksamaan kepada parti-parti yang bertanding untuk buat persiapan.
“Malah bukan itu sahaja, kita juga mempertimbangkan penetapan suatu tarikh berkenaan agar tidak bertindih dengan acara-acara yang besar seperti Hari Keputeraan sultan atau perayaan lain.
“Jadi, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober ini untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian DUN Galas. Sehingga petang ini, SPR belum menerima surat daripada Speaker DUN Kelantan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Kerusi Galas kosong setelah penyandangnya dari Pas, Che Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur petang semalam.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

(Sumber : http://www.utusan.com.my) 29 Oktober 2010